Tuesday, October 23, 2007

karya kematian (dalam arca)

di pinggir-pinggir jalan
ada tubuh sejuk
terbujur kaku
rela
meraikan kematian

mesin-mesin
yang direka – dihidupkan –
acap mengkhianati matlamat asal
bukan kebaikan yang mahu disampaikan
tetapi
berubah wajah menjadi
penganjur malapetaka
menukilkan karya-karya kematian
yang agong
untuk diwarisi bangsa merdeka
yang masih dungu – terbelenggu - berteleku

kematian zaman ini
diangkat bagai satu pesta syahid
walau hakikat itu hanya
penyek katak –
kerna manusia-manusianya
hanya berakal untuk dihilangkan
dan menyokong; hati menunjuk-nunjuk

kebodohan lama masih di situ
kini ditambah dengan takhta kebodohan baru
golak rasa naluri yang gagal difahami
atau
dimanfaat sains
menjadi raja alam mati
“hitung mayat-mayat dipinggir jalan itu, humban dalam belukar - bikin semak saja”

kematian kini
seni peringkat tinggi

diserpih arca-arca
mengasyikkan

ada;
kepala pecah - otak bersepai – mata terbeliak bergolek – perut terburai
tetek terhiris – badan tercerai – batang tercantas

rentung panggangan
bunuhan anak kecil
seksa perempuan perut boyot
hentam kiri – kanan – depan – belakang
langsai longlai mayat semua

ini seni
ini arca
ini harga baru manusia
ini kebiasaan
bagi melantik ketamadunan dunia baru

kebejatan
kebiadaban
ke – madefaker – an
manusia berkarya
dengan nyawa manusia lain

amalan dari silam
masih segar masih sama
dengan topeng yang
lebih warna-warninya

dua pilihan;
mahu menjadi pengkarya
atau
dikaryakan?

hujungnya terpalit hanyir darah dan gelap kematian

-15 oktober 2007
sitiawan
3.09pm