Thursday, January 31, 2008

pergi gemerlap

(sajak buat kepergian Loloq)

di Januari kali ini
bintang-bintang tak galak
untuk terus menyinar

malam-malam sunyi
benar semakin hening dihambat
sayap-sayap gelap penjaga pintu alam lain
yang datang membawa pesan
maha agung

- maka memanggil pulang -

anak-anak manusia yang dipinjamkan
kepada dunia

dia juga
genius perang kata yang dipinjamkan
bagi kaum yang mala tandus
idea-idea besar seni lagu

tadi
kembali
menyahut panggilan terakhir

dan kamu
jangan hadap untuk berperanan jadi penentu
baik-buruk-syurga-neraka
kerana kamu hanya manusia papa
yang belum tentu nasib di dunia

bintang yang satu ini luput cahaya
dan belum tentu akan ada lain orang yang mampu berpanah ke bintang lain yang jauhnya sama seperti itu

bintang-bintang
akan gugur lagi
di bulan-bulan indah yang lain

apa yang tinggal untuk kita? – cipta yang baru dengan semangat cahaya yang silau mencapah sudut-sudut tertinggal sebelumnya

- 31 januari 2008, bangsar