Tuesday, December 30, 2008

1430

aku memerlukan kelahiran semula / pada tahun ini / kerana sudah terlalu banyak tanda kotor pada seluruh ceruk rantau tubuh dengan segala macam air ludah orang-orang yang katanya bijak pandai dari daerah sini/ dan diracun otak oleh surat khabar sundal negeri kami / aku mahu jadi sombong dengan semuanya / kerana melalui masa semuanya terselak diselok / tidak ada apa-apa yang bagus sangat tentang mereka dan aku dan kamu masih saja hidup begini / tenang dan tanpa kacau bilau pada mata dan hati juga kaki dan telur jantan/ cuma kita mudah menjadi letih dan lemau jika terus diasak dengan pekung yang busuk begini / kejemuan akan membuatkan kita tua cepat dan mandom / bahlol jangan jadi bahlol lagi / gerakkan punggung berat dan mula lari liar - jangan takutlah / mereka bukan tuhan.

1430H - peluk aku dan bawa aku jauh dari aku yang dulu. Kepada kamu, jika aku meminta ampun, maafkanlah ya, saudara dan saudari yang budiman. Selagi yang namanya manusia, tidak ada yang lengkap dan tak pernah cukup. Kalau sudah tak hendak cakapkan saja.

30 disember 2008

selamat bertemu

kita akan bertemu esok pagi - kau dan aku -
ketika embun pelepah pohon dijamah
oleh sinar matahari pagi yang meremang
jangan cepat, jangan lambat
kerana bila maut mahu meragut
ia tidak datang bersama belas kasihan
atau pun keselekehan yang banyak alasan

ceritakan hal ini kepada orang-orang yang kamu sayangi dan mereka yang tidak memahami istilah 'masa'

damansara
29 disember 2008

Friday, December 19, 2008

rasa dosa

seribu satu macam rasa sedang bersarang dalam-dalam
apa rasanya dosa?
hari-hari yang dilalui belum dapat menjelaskan itu
sebelah hati ini diragut oleh rasa kebas
sebelah lagi disentap dan dibawa lari – untuk dipeluk ketakutan yang datang menghurung – jadi reput dan hilang kelak

ah, mari ke mari
rampungkan jasad ini
tembak jantung dan kaki kita
dan semua tak akan jadi lagi – seperti yang ditakuti sangat-sangat

dosa, barangkali – menyayangi kita dan mahu berbicara dengan bahasa yang sukar
simpan semua cerita kamu tentang dosa, kerana kamu belum merasakannya dan mencelup dan meramas dan menyelam di dalamnya untuk menjadikan kamu faham
cakap-cakap di sini tak laku! Dalam jasad, cerita kamu kaku.

aku tak mahu dengar bunyi sumbang kamu tentang dosa kerana ketika ini – aku merasakan – Tuhan sedang berbicara dengan aku tentang hal itu
jika ada ampun yang akan berlaku
akan aku sidaikan diampaian berdawai duri untuk dikeringkan dulu
sebelum dipersembahkan terus kepadaNya
dan bukan melalui siapa-siapa lagi
- hanya aku dan Dia

kau? boleh berselubung dengan air mata darah


meja pejabat
19 disember 2008

Thursday, December 4, 2008

kau lenyap terlebih dulu sebelum aku sempat menggenggam perkataan itu

(buat mendiang David Foster Wallace)

Ketika ini kau tentu tahu yang kita belum pernah kenal. Aku juga sebelumnya belum pernah bertemu dengan nama itu. Cuma, yang aku dapatkan ialah cerita-cerita kau yang luar biasa.

Ya. Kau hebat! Untuk itu sudah tentu yang juga – dalam erti kata lain – kau gila! Kalau bukan kerana kau gila kau tak akan sampai dikenang orang. Dengan sehelai seluar dalam, aku melukis kau di dalam kepala, cuba-cuba mengingat kalau-kalau kita pernah berjumpa di mana-mana – dirak buku gedung besar misalnya.

Petang yang suram itu, kau keluar dari satu lembaran yang indah tetapi menakutkan. Kita bersetentangan dan urat aku menjadi urat kau. Engkau bercerita panjang lebar tentang ketakutan kau dengan hidup, tentang tekanan perasaan, tentang cinta yang tak jadi, begitu juga dengan perihal menulis, yang tersangkut semuanya di celah anak tekak kerongkong kau – dan mata yang terkebil-kebil hampir kuyu.

Aku hanya membisu kerana petang itu – yang dibawa terus ke malam – adalah sisa waktu yang kau ada untuk bercerita. Jangan risau, aku akan sentiasa mendengar.

Boleh jadi kita sama? Melontar dan mengacah batu dari muka pintu yang menganga. Tetapi kau masuk. Masuk terlalu dalam dan jadi terhimpit – jasad dan roh. Hanya perkataan saja ubat yang ada. Aku menunggu diluar – sambil menjenguk-jenguk – kalau-kalau kau masih mahu menggenggam tangan aku dan berbicara lagi dalam bahasa yang kalut tetapi indah.

“Amherst membikin aku jadi bebal dan Pomona itu tempat terakhir yang aku ingin berada untuk berleter tentang hal yang macam-macam,”

Lalu, aku menunggu senja datang untuk beberapa hari seterusnya. Sebelum menjemput kisah roh kau yang tercabut di tali gantung hasil kerja tangan sendiri. Segala kepedihan hidup kau waktu itu sudah pecah di dalam kepala sendiri juga.

Sehingga hari terakhir kita bersama, aku berjanji: “aku akan mengutip semula selerakan rasa dan harapan untuk disematkan pada mata pena yang lama.”

Tunggu aku! Aku belum selesai lagi dengan kau!

David Gilmour berdendang - On An Island - dan menemani kenangan kita untuk seterusnya malam itu, menelusuri awal pagi yang hening dan semakin ngilu.

28 november - 1 disember 2008
damansara

air ludah kota kami

(tak pernah kering)

Kuala Lumpur mendung dan lembap lagi
hujan dan air mata menyimbah ke lantai tanah dan jalan tarmac
bersama dosa-dosa yang dikenang
dan cerita-cerita yang dilupakan

chow kit road
4 disember 2008

Tuesday, December 2, 2008

lidah keras

aku ingin menghirup air mata kamu
hingga kita sama-sama kenyang
dan puas dengan kekejangan
lidah keras

2 disember 2008
flora damansara