Thursday, January 22, 2009

dari tokyo ke odawara dan balik ke petak asal

siang. dia seorang perempuan muda. di dalam kereta menuju Odawara.
"apa agama besar orang Jepun?"
"Buddhist. juga Kristian."
"Shinto?"
"oh, ya. ramai. ramai."
"bagaimana dengan kamu?"
"saya tidak serius dengan agama. saya raikan semua."

malam. dia juga seorang perempuan - lain. di dalam restoran teppanyaki di pinggir Ginza.
makanan di hadapan. dia meletak chopstik di celah ibu jari. dua tapak tangan merapat. mulut terkumat-kamit menyeru.
"maafkan saya bertanya. apa yang kamu lakukan tadi?"
"saya memohon untuk dibenarkan menjamah makanan."
"daripada siapa?"
"saya tak tahu."
"itu ajaran agama?"
"saya tidak ada agama. itu diajar oleh ibu bapa saya dulu. 'a Japanese custom'. tetapi suami saya seorang Kristian."

dan, kedua-dua perempuan ini lebih baik dan lembut sifat daripada kebiasaan mereka-mereka yang percayakan tuhan dan mendakwa ingin menegakkan agama mereka (dengan penuh kebencian) - walau apa pun jenis agama yang dimaksudkan - yang sering kita depani, teman-teman yang dikasihi.

bagaimana sekarang?

tokyo-odawara
19-20 januari 2009


tokyo

semalam aku berpisah buat sementara waktu dengan angin Tokyo.
jahat. intim. sopan. teknologi. masa. laju. cantik. lucah. seks. air tapai. tepanyaki. meluat sampai tak lepas mata memandang. sampai bergetar badan berjalan di atas jejantas bertingkat di Ginza. mengkagumi dan disayangi. melayang dan tenggelam.
tulisan-catatan kasar-rojak belum sempat dihalusi. Nanti akan ada cebisan dari sana.
dan tiada sajak-sajak jenaka kerana ia tidak begitu selalu. cuma jarang-jarang.

22 januari 2009
bangsar