Monday, March 23, 2009

lemas

kamu pernah berkata, kamu lemas
dalam janggut itu
tetapi, jangan terlupa
yang aku juga selalu
lemas di dalam helai rambut kamu yang
hitam.

kini, helai rambut yang mana lagi mahu kita perihalkan?

23 mac 2009
p.d.

Thursday, March 19, 2009

air mata hati

(buat mereka yang kehilangan sayang)

air mata ini
yang gugur bertahun-tahun selepas
hati jadi dingin dan bicara jadi beku
seperti tidak membawa maksud apa-apa lagi.

kata cinta terus jadi rahsia antara kita
terselindung dalam maksud yang paling layap.
rahsia yang disimpan dibawah agama,
rahsia seperti hal-halnya Tuhan.
baru kini aku ketahui, kau kerap mengirimnya di dalam
setiap doa-doa yang
tak pernah walau sekalipun dilalaikan.

sekarang ini, diantara angin dan waktu
aku basahkan tanah pusara dengan
air mata dan air hati
yang sepatutnya mencurah
segala rasa sayang
bertahun-tahun dahulu.

hanya tanah merah ini sempat aku sentuh
dan kamu tetap menjauh.

berbahagialah,
kini waktunya sudah sampai untuk aku pula menangis
dan mengirim bait-bait cinta (dan nama)
dari dalam doa sambil merelakan mata melepaskan nisan.
entah sampai bila.

Aku basah.
Aku rebah.


19 mac 2009
kerinchi

Thursday, March 5, 2009

pokok

(untuk mereka yang berdewan dibawah pohon - termasuk Raja Isketambola)

dari pucuk puncak pohon ini
air menetes perlahan sambil bersinar silau
kerana bahang mentari dan cahayanya turun sama
membenih semacam harapan
yang namanya amat menggerunkan
menjadikan ada orang seram sejuk,
alergik dalam ketakutan

yang nanti akan tumbuh
menaungi anak-anak yang
tak terbela
berpuluh ribu (mungkin juta) itu


5 mac 2009

burung

(untuk mereka yang percaya)

aku pernah melihat
burung-burung terus terbang
walau didepan menanti adalah
hujan
ribut
petir
pelepah sayap yang basah
bukan beban yang melumpuh
kalau pun patah, burung tak senang mahu mengalah
terjongket
seret
mengesot
aku panjangkan doa untuk kamu burung
agar terus terbang, tak jatuh
kerana di sana ada pohon untuk berehat
sementara menanti kepak-kepak
kering dan pulih

5 mac 2009