Tuesday, October 27, 2009

gemuruh

27
(selamat ulang tahun)

Rimbaud datang menyerang mimpi
membawa sama kalung tembaga dengan angka 27
dan sebatang pena
sebagai hadiah.

27, mereka mati;

Chairil Anwar
Jimi Hendrix
Soe Hok Gie
Nick Drake
Kurt Cobain
Jim Morrison

angin tumpang lalu membawa bayang,
air menghempas batu menyorok garang.
hari ini 20 Oktober wahai tuan,
moga terus ingati dan diambil peduli.

agar tak terasa keseorangan diruang sunyi,
di tanah terasing ini.


Hafiz Hamzah, 20 Oktober 2009
Kyoto

Wednesday, October 14, 2009

menunggu sabda kata dari lorong Honduri

I

yang terbentang tak selalu diharap;
ketika mata sayu memandang keayuan
wajah yang menghambat
pada hampir setiap tiang dan depa dinding
sewaktu kaki melangkah berat dan semakin jauh

aku akan menulis baris-baris paling sedih dengan alunan suara kamu yang hadir dari puncak kubah itu; sungguh...

menyeramkan.

lantai masih hanyir
bahang panas masih mengelupas kulit.
kamu bercerita, dulu kamu pernah hancur
tanpa belas
sehingga tangan tak lagi dapat diangkat untuk meminta belas

izinkan aku menyingkap litup pada raut kamu, aku ingin melihat parut yang berbekas itu.
bolehkan aku selak kain pada paha kamu, kerana aku terhidu bau darah yang belum kering.

64 tahun kamu bercerita dan malaikat belum mahu mendengar?


II

kita terasa akrab walau tak pernah bersua.
jangan direntap tangan aku kerana ia memang akan sentiasa erat memeluk telapak tangan kamu
selagi kita bertemu di situ,
walau kita sedang mencelah di antara kubur, merayap di sisi semangat yang rosak dan berkejar dengan kenangan
yang mahu datang membunuh seperti hantu dalam jubah yang paling hitam dan menggerunkan.

kamu membuatkan aku melihat semua ini.
dan, dihadapan mata, aku lihat kamu menari-nari dalam langkah sumbang;
kamu bangun, daripada ketiadaan menjadi ada
dengan simbol yang paling kuat pernah disaksikan musuh kamu; origami burung kertas.


III

kemudian kita berjalan berdampingan di sebuah lorong
tempat di mana budaya diraikan.
ada sang nabi duduk keras di depan kita; memalu dan meniup dan memetik dan menari;
dalam gelombang alunan angin yang merdu, sarat dengan ritual lalok
sekaligus membuatkan aku tahu
yang kamu sedang mencemburui mereka dengan mengetap bibir dengan perasaan sayang.
kita sedikit-sedikit melupakan kepahitan kopi yang masih berbaki ditekak dalam suasana dingin itu.


IV

untuk kamu,
aku tanamkan kalimat cinta paling dalam
untuk diingati semua
di bawah pusara batu
yang di dalamnya dihuni
oleh ratusan buku rekod
senarai nama-nama orang mati
akibat tragedi bom pagi itu.

Di taman peringatan, rupa-rupanya aku sendirian memerhati kamu dari jauh.




september – oktober 2009
hiroshima – kuala lumpur

...