Monday, November 9, 2009

sajak datang dengan pisau

sepotong sajak marah-marah kelmarin.
katanya dia rosak
dan mahu bunuh diri.

aku bertanya, kenapa?
dan dia menjawab;

aku sudah tak berdaya
diperlakukan sebegitu
dipeluk oleh kau yang tak siap
memahami aku

meramas setiap sudut batang tubuh aku seperti aku ini kau yang punya
menggeluti aku tanpa rasa bersalah
sedangkan kita belum sempat berkenalan dengan akrab dan saling
jatuh cinta.

dan, aku paling pantang ketika kau melahirkan anak-anak haram bersama aku
yang dibenihkan oleh hubungan yang tak dinikmati dengan hipokrasi menjalang.

kau berhutang banyak dengan aku
dan aku tak mahu lagi pura-pura mendampingi kau
membuatkan kau seperti hebat mengulum bait-bait kata lunak
yang hancing.

aku tak mahu.
pergi sekarang atau aku akan mati!


Hafiz Hamzah, 9 November 2009.
Kuala Lumpur