Monday, July 2, 2007

iman… di mana?

iman… kau di mana?
puas dijejaki kamu
kerap aku tersadai dipersimpangan

simpang tiga
simpang empat
simpang siur
kau tetap tak kejumpaan… iman?

kau di dalam bukukah?
atau di dalam ngomelan ustaz-ustaz sejuk beku?

yang pasti
aku sentiasa rasa yang kau
sangat hampir


mungkin
kerna titik-titik dosa hitam dalam hati
aku tidak dapat melihatmu
aku tidak dapat menggenggammu
seperti mereka
betulkah begitu?

atau
aku ditipu
oleh mereka-mereka yang khabarnya memelihara kau
yang katanya
memiliki kau secara mutlak
suka hati mahu diagihkan
cara yang bagaimana

dengan akal aku jelajah
dengan ilmu yang sedikit itu
aku anjakkan
agar sampai maksudku
untuk mengenalimu

iman… di manakah kau?
mengapa kau terkepung
oleh lidah-lidah yang berbelit?
yang lagaknya seperti kau itu miliknya – orang lain tiada hak

aku
bila melihat langit biru
menyanyi berlagu
memandang perempuan gebu
merenung teguh reka bangunan
akan terpukau
terasa sangat-sangat erat dengan
iman

tapi
di masa yang kebanyakkan
bila disergah pe’el manusia
luluh hatiku
yang sarat dengan makna iman itu
aku lemas
aku sesat


bangsar utama
1 julai 2007
5.00pm

No comments: