Thursday, March 19, 2009

air mata hati

(buat mereka yang kehilangan sayang)

air mata ini
yang gugur bertahun-tahun selepas
hati jadi dingin dan bicara jadi beku
seperti tidak membawa maksud apa-apa lagi.

kata cinta terus jadi rahsia antara kita
terselindung dalam maksud yang paling layap.
rahsia yang disimpan dibawah agama,
rahsia seperti hal-halnya Tuhan.
baru kini aku ketahui, kau kerap mengirimnya di dalam
setiap doa-doa yang
tak pernah walau sekalipun dilalaikan.

sekarang ini, diantara angin dan waktu
aku basahkan tanah pusara dengan
air mata dan air hati
yang sepatutnya mencurah
segala rasa sayang
bertahun-tahun dahulu.

hanya tanah merah ini sempat aku sentuh
dan kamu tetap menjauh.

berbahagialah,
kini waktunya sudah sampai untuk aku pula menangis
dan mengirim bait-bait cinta (dan nama)
dari dalam doa sambil merelakan mata melepaskan nisan.
entah sampai bila.

Aku basah.
Aku rebah.


19 mac 2009
kerinchi

2 comments:

Unknown said...

assalamualaikum. saya baru saja menjengah ke laman blog saudara setelah membaca akhbar Kosmo bertarikh 15April2009. Saya suka membaca sajak nukilan saudara yang sangat bagus. saya akan terus melayari blog saudara. Terima kasih.

Jelir said...

Sama-sama. Teruskan membaca - dan melenting pada saya kalau perlu - selalu.