Monday, January 11, 2010

dipenghujung suatu permulaan

Malam itu, ketika cahaya bulan
tumpah dirautmu yang gementar,
bulan seperti berbicara sesuatu kepadaku;
"Andai semua kekurangannya dihimpun
menjadi lautan, adakah kau tetap akan berenang merentas kalut ombak dan
racau hati yang selalu mencemburui antara kamu?"

Kau tak akan tahu semua itu
kerana aku telah melalaikan inderamu
daripada kisah-kisah lirih antara tembok dan tubuh,
agar kau sentiasa tenang merebahkan kepala
pada bahu yang sekerat ini tanpa kekhuatiran lain.

Tak ada semi musim bunga yang lebih indah
daripada kuntum senyum mu dikala resah.
Malaikat pasti berbuat baik kepadamu
walaupun aku nanti akan terbakar tanpa abu.

Berjanjilah wahai bunga, bila dipersiapkan
sebuah ranjang pada satu malam yang hening untuk kita,
tenggelamkanlah jiwaku di dalam jiwamu.
Aku tak mahu lagi bercanda dibibir kesepian.

Tak ada apa lagi yang aku inginkan ketika ini
selain daripada meranduk hempas gelora ditubuhmu.

Dan aku akan meninggalkan benih-benih comel yang tetap
akan diingati bila nyawa kita terputus.



HH, 7 Januari 2010,
KL.

No comments: