Friday, February 9, 2007

seorang tua di buaian karat

Susuk tua yang bongkok
Jelas nyata seorang perempuan
Berkacamata besar
Matanya galak tersua pada kanta yang memantul cahaya
Besarnya

Dibiarnya tubuh itu terhayun perlahan
Menjongket pasir dan tanah kering
Dengan kekuatan kaki yang tidak seberapa
Buai perlahan si buaian karat
Buaikan dia
Di senja yang hiba
Jangan kau berhenti
Padanya itu adalah satu nikmat
Meluncur disentuh angin pipinya yang berkedut
Dimamah usia
Sesiapa saja
Semua kita sebenarnya

Aku tersenyum
Mengintai dari balik tingkap
Lapang dada melihat perempuan tua itu
Asyik

Aku menyapa dia
Dia membalas senyum ku
Dengan kuntum yang jarang
Aku temui pada mana-mana manusia lain
Kerna darinya adalah senyum yang penuh makna
Dalam tersirat lagi tersembunyi hasrat itu
Memandang ku
Seolah ada rahsia
Ada harapan yang dilihatnya
Yang cuba disampaikannya
Yang cuba diluahkannya

Walau aku tak pernah mengerti
Namun aku tetap merasa
Aku tetap dalat menyelam ke lubuk hati itu
Maka dengan itulah
Aku berkeputusan selalu mahu menemaninya
Dalam kesempitan masa yang terbatas
Tiada apa yang lebih indah
Bagiku
Baginya jua

Wajah itu menyimpan terlalu banyak cerita suka duka
Tak mampu dicerita semuanya
Biarlah ia semadi bersama sanubarimu wahai perempuan tua
Biarkan yang lain tidak pernah faham
Kerna aku akan sentiasa dapat merasa
Kerna dalam tubuh ini mengalir darahmu
Dan aku bersyukur

Kerna perempuan itu adalah
Siti Hajar – Nendaku yang jarang-jarang kami bersua


-11.48pm 6 Februari 2007– Compaq nx6320 – pantai dalam

No comments: