Thursday, August 21, 2008

untuk perihal malam itu

(buat Suzan Ahmad)

I

kamu selalu katakan begini;
“semuanya mudah-mudah saja, Tuhan menjadikannya begitu,”
aku pula mahu untuk tidak percaya itu
mahu untuk tidak yakini ayat-ayat kamu

alur simplistik begitu tidak pernah menemukan tawanan dalam diri aku
aku ingkar apa yang kamu fahami kerana
jika aku menurutinya
seluruh tubuh aku akan diselubung selimut tebal
dan menjadikan aku enak
membunuh terus keupayaan untuk melihat dari corong-corong yang berbeza
--- mungkin juga di sini aku terlalu takut untuk terlalu selesa

tuhan tidak menjadikan semuanya mudah
mudah – mungkin – untuk Dia yang maha segala
tetapi rumit untuk yang diciptakan seperti kita

juga mungkin,
ini ayat-ayat yang tertinggal dan tersisa dari perbualan tempoh hari;
baik-baik saja ya!

II

terus
dalam dingin awal pagi tadi
jam 2 awal atau sekitar waktu itu
di bawah embun
aku bertanyakan lagi apa yang membuatkan
kamu berkata demikian?

“kita tak perlu banyak bertanya kerana itu akan hanya mengelirukan”

untuk kesekian kalinya
aku tak pernah mahu faham kata-kata itu kerana
kekeliruan adalah jalan – atau hal-hal yang mendorong kita – untuk mencari jalan keluar dan memahami perkara-perkara yang tertunda dalam akal

adakah maksud kamu kita harus stagnant?
“bukan stagnant, tapi kesederhanaan” jawab kamu ringkas
lalu, tingkat kesederhanaan mana yang sedang kamu bayangkan?

batas kerumitan tetap ada untuk kita terus cuba menganjak sempadannya
jika tidak dicuba dulu, siapa yang mampu berkata-kata? dengan apa mahu dilontarkan pandangan-pandangan?

dan, soalan-soalan ini
menjadikan aku bengkeng terhadap pandangan kamu

III

mungkin itu sesuai untuk kamu
tapi tidak untuk aku

lalu aku temukan kata-kata ini:

“Tuhan memang tak hendak menyulitkan kita, tapi manusia kadang bisa aneh. Ia tak jarang ingin menjangkau justru hal yang hampir mustahil. Ia akan bersunguh-sungguh mendaki ke arah pucuk Himalaya doktrin dan akidah, berkobar-kobar dalam buah supermaraton ketaatan. Justru kerana ia berada dalam status yang tak sempurna, manusia tampaknya begitu mudah terdera untuk menggapai yang paling sempurna.” – Goenawan Mohamad (entah dari tulisan yang mana!)

daerah kritikal itu senantiasa sukar ditaati dan sering takut untuk difahami lalu terus tercabul

dan aku
masih di bawah embun
menunggu kamu lagi


mei – ogos 2008