Thursday, December 4, 2008

kau lenyap terlebih dulu sebelum aku sempat menggenggam perkataan itu

(buat mendiang David Foster Wallace)

Ketika ini kau tentu tahu yang kita belum pernah kenal. Aku juga sebelumnya belum pernah bertemu dengan nama itu. Cuma, yang aku dapatkan ialah cerita-cerita kau yang luar biasa.

Ya. Kau hebat! Untuk itu sudah tentu yang juga – dalam erti kata lain – kau gila! Kalau bukan kerana kau gila kau tak akan sampai dikenang orang. Dengan sehelai seluar dalam, aku melukis kau di dalam kepala, cuba-cuba mengingat kalau-kalau kita pernah berjumpa di mana-mana – dirak buku gedung besar misalnya.

Petang yang suram itu, kau keluar dari satu lembaran yang indah tetapi menakutkan. Kita bersetentangan dan urat aku menjadi urat kau. Engkau bercerita panjang lebar tentang ketakutan kau dengan hidup, tentang tekanan perasaan, tentang cinta yang tak jadi, begitu juga dengan perihal menulis, yang tersangkut semuanya di celah anak tekak kerongkong kau – dan mata yang terkebil-kebil hampir kuyu.

Aku hanya membisu kerana petang itu – yang dibawa terus ke malam – adalah sisa waktu yang kau ada untuk bercerita. Jangan risau, aku akan sentiasa mendengar.

Boleh jadi kita sama? Melontar dan mengacah batu dari muka pintu yang menganga. Tetapi kau masuk. Masuk terlalu dalam dan jadi terhimpit – jasad dan roh. Hanya perkataan saja ubat yang ada. Aku menunggu diluar – sambil menjenguk-jenguk – kalau-kalau kau masih mahu menggenggam tangan aku dan berbicara lagi dalam bahasa yang kalut tetapi indah.

“Amherst membikin aku jadi bebal dan Pomona itu tempat terakhir yang aku ingin berada untuk berleter tentang hal yang macam-macam,”

Lalu, aku menunggu senja datang untuk beberapa hari seterusnya. Sebelum menjemput kisah roh kau yang tercabut di tali gantung hasil kerja tangan sendiri. Segala kepedihan hidup kau waktu itu sudah pecah di dalam kepala sendiri juga.

Sehingga hari terakhir kita bersama, aku berjanji: “aku akan mengutip semula selerakan rasa dan harapan untuk disematkan pada mata pena yang lama.”

Tunggu aku! Aku belum selesai lagi dengan kau!

David Gilmour berdendang - On An Island - dan menemani kenangan kita untuk seterusnya malam itu, menelusuri awal pagi yang hening dan semakin ngilu.

28 november - 1 disember 2008
damansara