Wednesday, July 8, 2009

iran di dada neda

Sayu yang dulu terselindung di balik skaf Parsi di tengah mendung dan remang petang itu terlucut sudah. Menenggelamkan negara dalam gelora dan politik dalam darah pekat yang akan dihirup terus-terusan oleh drakula dengan ketayap dengan suara bergema menyambut malaikat yang belum tentu mahu turun melihat muka tawar. Kocak jalanan menggumam hantu putih, dipasak susuknya dan direjam - tetapi tak pernah kena kerana, belum ramai orang yang sudah bangun dari tidur dan memekik kata dendam dengan lenggok cinta. Kemudian rebah. Menahan pancut dan gejolak dari dalam dengan tangan. Tak tahan. Kami melihat anak mata - dari seorang perempuan muda yang dua minit kemudian akan mati. Tenungan itu menggerunkan simpati, pasrah dan geram. Ada rasa ngilu dan erang Jibrail yang sedang memayungi takhta kesakitan yang lekas mahu pergi. Salju merah turun di dahi berselerak dalam tanda tanya, bersaksikan dunia, atas nama tuhan dan kemanusiaan.


8 julai 2009
bangsar


* 20 Jun 2009, Neda Agha-Soltani ditembak mati di sebuah lorong di Tehran, ketika dalam perjalanan mahu mendekati kelompok demonstran yang membantah keputusan pilihan raya Iran. Perluru tepat ke dadanya dan penembak dipercayai dari kelompok angkatan khas Basij. Ada yang mengatakan penembak dari atas bangunan dan ada yang percaya penembak menaiki motosikal dengan pakaian biasa. Sejurus selepas terkena tembakan itu kira-kira 6.30 petang, Neda mati.

No comments: