Monday, April 27, 2009

ahad

Tidak ada apa yang lebih memuncak getir syahwat
Di hari Ahad selain
Berhadapan dengan siang dan malamnya dengan para
Pelacur baris kata dan deru bunyi yang menggoncang
Yang sentiasa tahu untuk memuaskan nafsu dan melunas
Rasa yang tertangguh selalu

Pagi tak ada lain yang boleh dibiar
Dari lentang di-katil dan ruang tamu dengan
Buku-buku berganti kata:

(Pilihanraya atau Pilihan Jalan Raya – Hishamuddin Rais dan Before Night Falls – Reinaldo Arenas)

Menelusuri bait-bait kata yang menyusun catatan pengalaman jalan-jalan hidup memberhentikan masa untuk aku terus berkhayal dalam dunia naratif dan memoir yang cukup-cukup indah – dan banyak luka.

Sehari ini, debu cinta bertebaran di-atas dada. Bertelanjang menghadap dunia kecil yang menakjubkan (membaca dan geli-geli), garis cerita-cerita yang lebih penting daripada apa-apa berita akhbar ataupun kesah politik kentut tak ada telur.

Bila senja makin menghampar, adam dan hawa juga harus tersadai sama tanpa ada lain-lain pilihan. Merangkul dipukul, menginjak dihenjut, mengelak tak lari. “Belai dulu biar lembut dan jangan gopoh.” Akhirnya cinta melengkapkan saki-baki siang sebelum malam menjelma untuk kita senyap. Dunia sudah terlalu banyak kecelakaan, dan kita tak perlu menambahnya. Cinta adalah mujarab paling lembut dan kadang-kadang bunyinya angkuh dan menakutkan. Menjelang malam, di-atas katil yang beralih, dua orang dan dua buku memasuki dunia yang berbeza-beza semula, dibelit susunan kata-kata yang mengandung cerita pedih.

Satu hari yang rimbun dengan rasa cinta, diselerak oleh buku-buku yang berbicara dengan berani dan tak malu-malu dan sambil telinga juga digetus oleh muzik-muzik rock dan punk kurang ajar (dan pengakuan) dari The Clash, Ramones juga Morrissey, kita akan melupakan segala kepayahan dunia – walaupun ketika itu poket sedang kosong tak berisi. Jika hati rasa sayu seperti selalunya, jangan malu-malu lari bersendiri di tikar sembahyang. Berbicaralah dengan Tuhan semahunya. Maghrib adalah waktu paling absurd kepada manusia setelah subuh dinihari.

Selepas jam berdetik perlahan-lahan meninggalkan koyak, buku-buku, muzik rock dan seks akan mengisi sedikit bahagian jiwa yang lompong. Malam datang membawa senyum sebelum kita berpisah lagi.



27 april 2009
p.d

2 comments:

Anonymous said...

hye..
salam!
saya tahu blog awak dr surat khabar...
hemm...benar-benar indah bait-bait kata kalau hati sudah sebati dengan aksara mampan!

silalah lawat ke blog saya yang diacu mengikut rentak hati...
sastera juga adalah jiwa saya... =)

Jelir said...

Baik. Akan ke sana.