Thursday, April 9, 2009

selepas hujan

aku kalungkan senja warna jingga dileher kamu
sewaktu kita berselisih antara
kenal dan asing, Maria.
litup kepala dan seluar senteng,
selipar jepun, semua sama menderu
mahu ditumpahi hujan.
kamu berjalan dalam rintis-rintis yang musykil
ditelan kagum dalam seni bangun kota kami.
di balik gema azan dan suara ayat-ayat suci
raut wajah kamu yang tak ternampak masih tertambat
dalam jantung yang masih mahu degup kamu didengari
dari mesin garisan-turun-naik
menarik-narik nyawa dihujung talian
dan mata kamu bundar, aku ingat lagi kerana aku sangat hiba.
setelah hujan nanti, jangan layap. Nanti dirempuh dan aku belum rela kenangan beberapa saat kita ditepi jalan itu dihapus dan bunyi hon serta mesin wad terus membawakan berita malang.
sebelum aku sempat mengalungkan lagi
hujan Kuala Lumpur di dada kamu
diwaktu lain jika kita ditakdirkan bertemu. Atau bila ingatan terpaut lagi.
imej kamu dengan jaket hujan lencun itu aku simpan,
dan aku sudah bersedia untuk melepaskan titis hujan terakhir,
juga kepada senja dan untuk kamu
yang makin gelap dan tak cantik lagi.
tiada lagi warna jingga. Kamu tahu harapan masih ada.


5 april 2009
7.34pm
p.d.

No comments: