Wednesday, August 27, 2008

ke langit adalah violet

ungu senja bergiring menghantar
aku pulang

- dan -

yang tertinggal hanyalah dua bentuk cincin putih
di Rembang Panas

- yang -

sebelumnya ada orang tua yang bertanya;
"apo putih ni? biasonyo kuning..."

rembang panas-damansara
26 ogos 2008

Thursday, August 21, 2008

untuk perihal malam itu

(buat Suzan Ahmad)

I

kamu selalu katakan begini;
“semuanya mudah-mudah saja, Tuhan menjadikannya begitu,”
aku pula mahu untuk tidak percaya itu
mahu untuk tidak yakini ayat-ayat kamu

alur simplistik begitu tidak pernah menemukan tawanan dalam diri aku
aku ingkar apa yang kamu fahami kerana
jika aku menurutinya
seluruh tubuh aku akan diselubung selimut tebal
dan menjadikan aku enak
membunuh terus keupayaan untuk melihat dari corong-corong yang berbeza
--- mungkin juga di sini aku terlalu takut untuk terlalu selesa

tuhan tidak menjadikan semuanya mudah
mudah – mungkin – untuk Dia yang maha segala
tetapi rumit untuk yang diciptakan seperti kita

juga mungkin,
ini ayat-ayat yang tertinggal dan tersisa dari perbualan tempoh hari;
baik-baik saja ya!

II

terus
dalam dingin awal pagi tadi
jam 2 awal atau sekitar waktu itu
di bawah embun
aku bertanyakan lagi apa yang membuatkan
kamu berkata demikian?

“kita tak perlu banyak bertanya kerana itu akan hanya mengelirukan”

untuk kesekian kalinya
aku tak pernah mahu faham kata-kata itu kerana
kekeliruan adalah jalan – atau hal-hal yang mendorong kita – untuk mencari jalan keluar dan memahami perkara-perkara yang tertunda dalam akal

adakah maksud kamu kita harus stagnant?
“bukan stagnant, tapi kesederhanaan” jawab kamu ringkas
lalu, tingkat kesederhanaan mana yang sedang kamu bayangkan?

batas kerumitan tetap ada untuk kita terus cuba menganjak sempadannya
jika tidak dicuba dulu, siapa yang mampu berkata-kata? dengan apa mahu dilontarkan pandangan-pandangan?

dan, soalan-soalan ini
menjadikan aku bengkeng terhadap pandangan kamu

III

mungkin itu sesuai untuk kamu
tapi tidak untuk aku

lalu aku temukan kata-kata ini:

“Tuhan memang tak hendak menyulitkan kita, tapi manusia kadang bisa aneh. Ia tak jarang ingin menjangkau justru hal yang hampir mustahil. Ia akan bersunguh-sungguh mendaki ke arah pucuk Himalaya doktrin dan akidah, berkobar-kobar dalam buah supermaraton ketaatan. Justru kerana ia berada dalam status yang tak sempurna, manusia tampaknya begitu mudah terdera untuk menggapai yang paling sempurna.” – Goenawan Mohamad (entah dari tulisan yang mana!)

daerah kritikal itu senantiasa sukar ditaati dan sering takut untuk difahami lalu terus tercabul

dan aku
masih di bawah embun
menunggu kamu lagi


mei – ogos 2008

patriotisme sudah mati

(selamat menyambut hari merdeka ke - 51)

patriotisme sudah mati dibunuh
sama waktunya ketika orang-orang
menyorokkan hakikat
dan putar-belit cerita
diangkat jadi sejarah

tak selamanya semua itu
akan terus terbungkam
kerana langit telah lelah
bumi pula merindu berat padanya
dan masa tak lagi mampu membendung

hari ini
patriotisme akan lahir semula
ketika kita membeli kereta Proton
ketika laungan ‘Malaysia Boleh’ tidak disanggah

juga, di setiap bulan Ogos
kibaran bendera pada bonet kereta
akan membuat terpampang di dada
cop besar ‘patriotisme’ baru
yang ghairahnya lain macam

dosa-dosa lama bangsa kemudian
digalaskan pada bahu orang-orang muda
menjadikan mereka fragil
terkelu mabuk kepayang melukis kembali cerita-cerita lama
dari mula dengan kerja keras

semuanya orang-orang ini tidak tahu
salah belaka
hina petaka
rosak binasa
tak ada bangsa
lagi

runtuh
punah
podah!


11 ogos 2008

Tuesday, August 12, 2008

tutup pintu, lindungi aku

rusuh angin dari luar liar
gemuruh derap kaki masih jelas
dan tak pernah lenyap


mereka masih memburu
dari dulu

mereka pernah menyentap aku
dan kini mereka datang lagi
mereka mahu lagi
aku
yang perit

bertambah getir terimbau

sayang, tutup pintu dan
lindungi aku

aku bukan takut...
cuma
aku sudah terlalu penat
untuk itu


masa kita tak banyak

9 ogos 2008

meracau si tua

(kerana tidur itu enak baginya di mana-mana bila-bila)

siapa punya datuk yang meracau
dalam kotak tv itu?
merepek, bercakap bukan-bukan tentang macam-macam;
harga minyak dunia - indeks saham merudum – ekonomi kita baik (tumbuh 6%) - hakim bebas – kes liwat bukan konspirasi – tun – mahkamah syariah – halal haram! TAPI - orang yang itu-itu juga, tak beralih

tak lebih penting cakap-cakap kau
daripada tidur aku

pesan pada si tua muka berkedut
“jangan bising, aku nak tidur!”

12 julai 2008

sajak seluar dalam

sudah habis kau lucutkan semua?
sekarang, apa lagi?
dari helai yang mana mahu kau londehkan pula?

aku tak punya apa-apa
yang mampu membuatkan kau senang
kata-kata juga tak akan beramah
pada batang tubuh ini
tak ada lagi benangg yang mampu aku jahitkan
semuanya dulu kau yang bakar

dan kini
hanya tinggal seluar dalam aku saja
helai terakhir
dipersilakan kepada kau untuk melondehkannya
juga

dan, bila kemaluanku tak lagi berselindung
tubuh telanjang ini
akan menerajang perasaan kau
menyelak semua kisah-kisah lama
yang kau simpan dalam-dalam

bila matahari terpacak
dan kemaluanku menegang
kau sepatutnya faham dengan isyaratnya;

aku tak lagi percaya pada kau
dan dalam bogel yang kau sengajakan ini
akan hadir laknat paling besar untuk kau

protes aku adalah dosa
dan lagak kau belum tentu meraih simpati
Tuhan

12 julai 2008