Monday, December 28, 2009

reposisi subliminal

Antara sedar dan samar, aku fikir dihujung bilik itu ada syaitan yang sedang duduk termenung dan memegang sebelah tanduknya yang patah. Dengan mata merah dan bahang panas api nyala, dia mahu mengenal tuhan. Dia menunggu roh berterbangan untuk hinggap beberapa ketika pada jasad yang ditinggalkan itu. Dengan separa kesedaran tak menyempat, dia menghimpit dari depan, bawah dan belakang, menghumban keberadaan ingatan ke daerah psyche yang dipeluk gelisah – dengan tawa dan dengung suara meminta tolong. Pasti tak didengari. Di segi empat ranjang itu, bergemerincing degup jantung jatuh ke tangan kotornya yang baru siap bersenggama dengan roh berterbangan yang sesat, mencari rumah baru – diketahui kemudiannya ruang mereka juga makin sempit dikepit kangkang orang-orang kecewa. Hanya rasa ngilu menemani, dari malam dibawa ke pagi. Selamat malam, syaitan. Lekas pergi, sebelum langsir dijatuhkan di antara kita.



-HH, 25 Disember 2009.

Friday, December 25, 2009

P

(Buat mereka yang dimulakan dengan huruf P,
yang kerap datang mengganggu dalam mimpi.)


Tubuhmu kulihat ringan melayang
Terlalu kempis untuk dirangkul

Lalu, di mana harus aku
sangkutkan cinta?

Kepada pelukanmu aku tenggelam
Kepada hangat tubuhmu aku tersisa
Tetapi, kepada redup matamu aku tak rela.

Jangan merenung aku begitu lagi,
kerana itu hanya akan merosakkan dirimu.
Biar hanya aku yang ketakutan
melihat mayat malam
yang kau perkosa
dan rentungkan
di belakangku.

Tidurlah sayang, tutup matamu.
Aku tetap akan bertemankan
bayangmu yang tak jauh itu.

Untuk malam-malam yang masih hidup,
aku akan menantimu di bawah tiang lampu itu lagi.

Selamat muncul kembali untuk bercinta,
Pontianak-ku.


-HH, 25 Disember 2009.

Friday, December 4, 2009

ruang

Masing-masing mereka menghempaskan diri pada dunia yang berbeza, walau matahari mula muncul dengan senyum atau kemuncungan. Keras, hiba, membosankan dan kecewa sering menghuni sama dunia itu. Separuh nyawa telah hilang di dalam sela waktu berasingan itu. Kemudian, bila senja tiba dan menggoda malam, mereka akan kembali ke ruang yang satu ini; rumah yang menjadi tempat pertemuan setia dan tanpa jemu. Di ruang ini, walau tak seberapa, mereka kerap bahagia membelai dan berkucupan disepanjang rentang malam tanpa sesal. Sesekali bertengkar, pastinya. Cinta di ruang terapung yang menemukan dan kerap juga memisahkan rasa dan nyawa.


- HH, 3 Disember 2009.

Wednesday, December 2, 2009

klandestine.

(ingatan buat segala yang haram)

Di dalam sebuah cerita dari sebuah cerita yang lain, pernah engkau membaca atau mendengar tentang kisah seorang budak, anak kepada seorang kolonel, yang mati dibunuh kerana di dalam kocek jaket luarnya ada tulisan dan cetakan-cetakan sastra klandestine? Kekhuatiran mereka memuncak ketika ada bayang gelap datang. Dan, kegelisahan sendiri-sendiri itu cuba ditamatkan dengan pembunuhan. Satu mati, esok lahir lagi yang lain. Tetapi, yang tak disedari, bayangan memang tak ada yang putih. Begitu nyawa yang satu ini melayang, selamanya dia akan dikenang. Dan, juga sastra yang tadi mahu dibungkam akan terus dicari dan muncul diantara lendir dan hanyir. Ketika kekuasaan sampai mengintip ke ruang tidur dan masuk ikut pintu belakang rumah, kita harus melawan! Kerana, mereka bukan Tuhan, untuk mengaku diri sastra.


Hafiz Hamzah, 2 Disember 2009.
Kuala Lumpur.

a.

(prosa untuk mata)

Matamu belum terkatup penuh ketika jasadmu meledak. Jika kerlingan itu mampu berbicara lagi, rohmu pasti tersangkut pada nyawa mereka yang sedang mendepanimu waktu itu; tersorok-sorok dibelakang bahu orang di depan dan pura-pura menutup mata agar tak melihat dirimu. Sesudah itu, mereka memang akan tersenyum, tetapi tetap dengan ketakutan. Ketika mereka benar-benar mahu menutup mata nanti - untuk tidur atau untuk mati - wajahmu akan tergantung dikelopak mata mereka, membiarkan mereka terus-terusan meracau. Mungkin sampai jadi gila. Dihambat dan berlari, melihat matamu menjegil sentiasa.


- Hafiz Hamzah, 2 Disember 2009.

Monday, November 9, 2009

sajak datang dengan pisau

sepotong sajak marah-marah kelmarin.
katanya dia rosak
dan mahu bunuh diri.

aku bertanya, kenapa?
dan dia menjawab;

aku sudah tak berdaya
diperlakukan sebegitu
dipeluk oleh kau yang tak siap
memahami aku

meramas setiap sudut batang tubuh aku seperti aku ini kau yang punya
menggeluti aku tanpa rasa bersalah
sedangkan kita belum sempat berkenalan dengan akrab dan saling
jatuh cinta.

dan, aku paling pantang ketika kau melahirkan anak-anak haram bersama aku
yang dibenihkan oleh hubungan yang tak dinikmati dengan hipokrasi menjalang.

kau berhutang banyak dengan aku
dan aku tak mahu lagi pura-pura mendampingi kau
membuatkan kau seperti hebat mengulum bait-bait kata lunak
yang hancing.

aku tak mahu.
pergi sekarang atau aku akan mati!


Hafiz Hamzah, 9 November 2009.
Kuala Lumpur

Tuesday, October 27, 2009

gemuruh

27
(selamat ulang tahun)

Rimbaud datang menyerang mimpi
membawa sama kalung tembaga dengan angka 27
dan sebatang pena
sebagai hadiah.

27, mereka mati;

Chairil Anwar
Jimi Hendrix
Soe Hok Gie
Nick Drake
Kurt Cobain
Jim Morrison

angin tumpang lalu membawa bayang,
air menghempas batu menyorok garang.
hari ini 20 Oktober wahai tuan,
moga terus ingati dan diambil peduli.

agar tak terasa keseorangan diruang sunyi,
di tanah terasing ini.


Hafiz Hamzah, 20 Oktober 2009
Kyoto

Wednesday, October 14, 2009

menunggu sabda kata dari lorong Honduri

I

yang terbentang tak selalu diharap;
ketika mata sayu memandang keayuan
wajah yang menghambat
pada hampir setiap tiang dan depa dinding
sewaktu kaki melangkah berat dan semakin jauh

aku akan menulis baris-baris paling sedih dengan alunan suara kamu yang hadir dari puncak kubah itu; sungguh...

menyeramkan.

lantai masih hanyir
bahang panas masih mengelupas kulit.
kamu bercerita, dulu kamu pernah hancur
tanpa belas
sehingga tangan tak lagi dapat diangkat untuk meminta belas

izinkan aku menyingkap litup pada raut kamu, aku ingin melihat parut yang berbekas itu.
bolehkan aku selak kain pada paha kamu, kerana aku terhidu bau darah yang belum kering.

64 tahun kamu bercerita dan malaikat belum mahu mendengar?


II

kita terasa akrab walau tak pernah bersua.
jangan direntap tangan aku kerana ia memang akan sentiasa erat memeluk telapak tangan kamu
selagi kita bertemu di situ,
walau kita sedang mencelah di antara kubur, merayap di sisi semangat yang rosak dan berkejar dengan kenangan
yang mahu datang membunuh seperti hantu dalam jubah yang paling hitam dan menggerunkan.

kamu membuatkan aku melihat semua ini.
dan, dihadapan mata, aku lihat kamu menari-nari dalam langkah sumbang;
kamu bangun, daripada ketiadaan menjadi ada
dengan simbol yang paling kuat pernah disaksikan musuh kamu; origami burung kertas.


III

kemudian kita berjalan berdampingan di sebuah lorong
tempat di mana budaya diraikan.
ada sang nabi duduk keras di depan kita; memalu dan meniup dan memetik dan menari;
dalam gelombang alunan angin yang merdu, sarat dengan ritual lalok
sekaligus membuatkan aku tahu
yang kamu sedang mencemburui mereka dengan mengetap bibir dengan perasaan sayang.
kita sedikit-sedikit melupakan kepahitan kopi yang masih berbaki ditekak dalam suasana dingin itu.


IV

untuk kamu,
aku tanamkan kalimat cinta paling dalam
untuk diingati semua
di bawah pusara batu
yang di dalamnya dihuni
oleh ratusan buku rekod
senarai nama-nama orang mati
akibat tragedi bom pagi itu.

Di taman peringatan, rupa-rupanya aku sendirian memerhati kamu dari jauh.




september – oktober 2009
hiroshima – kuala lumpur

...



Friday, August 28, 2009

derap pinggul

oh-sang kekaseh
menjelang malam kini
tetapi kau masih tak hadir
dipelukkan mata

Detak jarum saat dibelakang
akan terhenti dilarut malam
bila waktunya kau akan berhias?
dan mengiringi aku dengan derap
tumit yang akan hilang
sebentar nanti...

dian ditepi jendela siapa yang nyala?
makin panjang makin mahu malap
takkan kah kau menghembus aku?
disaat dini terbebas...


28 ogos 2009
pantai dalam

Friday, August 7, 2009

terbanglah sang merak kayangan

(dedikasi buat almarhum WS Rendra)

sampai sudah waktumu
wahai sang merak kayangan

dalam perjalanan terakhir
merentas kala waktu yang lohong menuju daerah pasti,
ada bulu-bulu pelepah
dengan warna-warna indah
gugur dan tetap mahu memberi
nyawa dengan warna
kepada ruang kami yang muram.

kata-kata terlekap dibibir
getar suaramu yang dulu khabarnya masih
berdengung.
pelacur-pelacur di sana juga akan mengingatimu;
kerana sejak perkenalan itu
mereka juga jatuh cinta dengan kecantikan
susun merdu bicara yang lewat waktu itu
walau mereka sedang berjalan dengan kangkang yang berdarah dan pedih
cukup menggetarkan.

kamu sedar, kekerasan masih lagi di sini
himpitan masih melemaskan ruang muram itu.
sekali-sekala dulu, kami mampu terbangun melihat kepak dan punggungmu meremang
menandakan yang semangat tak akan pernah kalah dan runtuh
melihatkan penindasan tak sama dengan maut; tak akan mampu dipertahan lama
dan keadilan – walau remeh – tetap menjadi suatu hal yang meruntun harapan tegar

kini, kalau kami mampu mendengar lagi jeritmu, ceritakanlah bagaimana perjalanan kamu itu. Kami rindu mendengar pekikanmu yang manja dan tetap garau mengejutkan orang senang yang sedang bergelumang dalam mimpi syahdu di atas sengsara orang-orang seperti kami.

biar mereka tahu, kami masih punya inspirasi
untuk terus hidup dan bernafas dengan rasa yakin
walaupun dari alam yang berlainan daripadamu, sang merak di kayangan, di sini seperti yang diketauhi, tidak semuanya indah

kibaskan juga sayap-sayap tuamu itu nanti
agar ditempat ini, kepanasan dapat reda dan dingin kembali mengulit
kuak dinding-dinding yang semakin meremuk rusuk kami agar pada suatu hari
kami juga akan dapat bernafas seperti mereka.
ludahi siswa-siswa itu dengan air liur wangi dari atas langit tempat kamu berehat,
biar mereka tidak kuncup-kuncup jiwanya ditekan dan dipertolol

aah, mereka mana tahu apa yang kita rasa
hati yang remuk mana pernah diubat
kekuatan ini adalah dari kata-katamu
yang melirih lembut dari paruh yang tajam

malam nanti, waktu tidur, pinjamkan matamu.
hamparan itu perlu diperhalus dan pandangan yang ada tak cukup kuat.
kami tak nampak dicelah mana orang lara kebulur.
pertanyaan ini; dipenjara mana mereka sekarang? - turut menghambat ruang dan waktu ketika ini.
rasuah masih berselindung dibalik daun sireh
kekerasan datang dengan topeng muluk
penindasan entah dari mana meminjam senyum sumbing
cakap-cakap dari mulut manis tetapi berbisa
membawa bersama malapetaka.

semua ini akan terus berteman di sisi kami.
tetapi, dalam ingatan yang pernah kamu ciptakan dulu
ada nostalgia yang membakar
membuatkan kami tak akan pernah lupa
warna-warna indah pada tubuh dan huruf-huruf
perkataan itu.


7 ogos 2009
kuala lumpur
malaysia

Tuesday, August 4, 2009

melepasi sejuk

Aku belum menyentuh salji
ketika
kau tiba; rindu.

Merejang malam di pekan kecil Whangarei,
orang mencari syaitan.
mata telanjang menonton iblis menari.
malaikat samar-samar merentas tanpa lagu dan terus hilang.

cuma,
ada perkataan tak sengaja tersembur kedengaran.
Iblis terlepas cakap tetapi malang buat dirinya sendiri;
ketakutan tak tiba
hanya kesejukan perayau malam yang ditunggu
untuk dirasa dari balik cermin tanpa pemanas
dan nanti bersetubuh dengan angin malam yang rakus

Aku belum bersedia
untuk membiarkan roma menegak
hanya kerana kau disebelahku
tanpa anak mata
melingkar dari bawah sarung
Menyelinap mencabul kewarasan
dan keiinginan untuk bersendiri

pergi jauh-jauh
di bawah kotak tv ini tak ada
saudaramu yang tertinggal.

Dinginku adalah rohmu yang terlepas dan hinggap menemani malamku
dibucu katil. Sebelum tubuhku menggeletar.


5 jun 2009
Whangarei,NZ-Kuala Lumpur

Wednesday, July 8, 2009

iran di dada neda

Sayu yang dulu terselindung di balik skaf Parsi di tengah mendung dan remang petang itu terlucut sudah. Menenggelamkan negara dalam gelora dan politik dalam darah pekat yang akan dihirup terus-terusan oleh drakula dengan ketayap dengan suara bergema menyambut malaikat yang belum tentu mahu turun melihat muka tawar. Kocak jalanan menggumam hantu putih, dipasak susuknya dan direjam - tetapi tak pernah kena kerana, belum ramai orang yang sudah bangun dari tidur dan memekik kata dendam dengan lenggok cinta. Kemudian rebah. Menahan pancut dan gejolak dari dalam dengan tangan. Tak tahan. Kami melihat anak mata - dari seorang perempuan muda yang dua minit kemudian akan mati. Tenungan itu menggerunkan simpati, pasrah dan geram. Ada rasa ngilu dan erang Jibrail yang sedang memayungi takhta kesakitan yang lekas mahu pergi. Salju merah turun di dahi berselerak dalam tanda tanya, bersaksikan dunia, atas nama tuhan dan kemanusiaan.


8 julai 2009
bangsar


* 20 Jun 2009, Neda Agha-Soltani ditembak mati di sebuah lorong di Tehran, ketika dalam perjalanan mahu mendekati kelompok demonstran yang membantah keputusan pilihan raya Iran. Perluru tepat ke dadanya dan penembak dipercayai dari kelompok angkatan khas Basij. Ada yang mengatakan penembak dari atas bangunan dan ada yang percaya penembak menaiki motosikal dengan pakaian biasa. Sejurus selepas terkena tembakan itu kira-kira 6.30 petang, Neda mati.

Thursday, July 2, 2009

haram

di waktu ini
kita melihat tamak melingkar
diantara kau dan aku serta teman-teman lain.

mulanya dia tersenyum,
menampakkan warna putih suci yang malaikat
sampai jadi tak sedar yang dia nanti

datang berbisik
mengepung tangan dan langkah
menjerut leher
dan serkup hidung-mulut
sehingga pada satu saat yang genting
dia membunuh, tanpa mabuk.

tuan,
kau tak haramkan hal ini?
tak ada fatwa atau undang-undang yang mahu dibikin,
seperti banyak hal lain yang selalu kau kepohkan?

mengapa? kau dah bertukar Tuhan?
atau kau dah tak ada telor?
atau kau memang tak pernah ada telor?

hidup senang-lenang di atas keperitan orang lain,
hidup pura-pura untuk puaskan kekuasaan
temberang menipu tak tentu arah.

bangkai tak tau malu!

2 julai 2009
bangsar

sensual

keindahan sensual
dari bau-bau hari semalam
mengepung udara sembab
dari dalam seluar

- anak seluar -


27 jun 09
p.d

Tuesday, June 30, 2009

sebuah mimpi

oleh Jorge Luis Borges

Di sebuah kawasan terpencil di Iran ada sebuah menara batu yang tak seberapa tinggi yang tak ada pintu mahupun tingkap. Di dalam satu-satunya bilik (dengan lantai kotor dan ruang sel bentuk bulat) di sana ada sebuah meja kayu dan kerusi panjang. Di sebalik jeriji besi ruang bulat itu, seorang lelaki yang kelihatan seperti aku sedang menulis surat-surat aku tak boleh faham
sebuah sajak panjang tentang seorang lelaki di dalam ruang bulat sel penjara lain sedang menulis sepotong sajak tentang seorang lelaki di dalam sel penjara yang lain... Proses ini tak pernah berakhir dan tak ada siapa akan mampu untuk membaca apa yang ditulis oleh semua tahanan-tahanan itu.

(Diterjemah, dari bahasa Sepanyol, oleh Suzanne Jill Levine yang kemudiannya diterjemah dari bahasa Inggeris oleh Hafiz Hamzah.)

Monday, June 22, 2009

dua sajak tanpa tajuk

1.
hening
dini hari
membawa aku kepada mu

ketika
hati
jadi sayu
mengepung suara-suara
keras
menyebut
ayat-ayat surah
yang menenangkan

aku
jadi
bangun.

dan
menghadap mu.

2.
kau akan memahami
banyak perkara
bila sampai waktunya

kelembutan tutur kata menjadi sesuatu yang lain
kemesraan sentuhan tidak lagi hanya ada gersang
ia kini hadir dengan rasa yang macam-macam.

mata jadi kuyu
bila menatap wajah dia
hati jadi debar dan gemuruh
soalan terpacul menanyakan
kesediaan

jangan gusar
kerana penyatuan
- jika sudah difikirkan dalam-dalam –
akan memeluk kau dan dia
dalam satu ruang dan waktu
yang tak ada siapa akan mengerti.

kau dan dia
adalah cerita kau dan dia.
lain orang tak akan dapat merasa
kau dan dia

mereka tak akan jadi sama
seperti kau dan dia.


Jun 2009
p.d.

Thursday, June 18, 2009

pengakhiran mimpi

sepuluh tahun aku merebut mimpi
melawan katakutan
memangkas rasa tak yakin
demi untuk aku berdiri menggenggam apa yang pernah aku percaya

'orang-orang yang berjaya menemui jalan adalah orang-orang yang berani untuk membayangkan sesuatu itu terjadi,'

masa tak pernah lalai
tetapi keengganan untuk memahami proklamasi kesungguhan
nampak seperti membayar harga yang cukup mahal

sepuluh tahun tersungkur
aku kutip dan bungkus dalam kain bersih
memanjakan setiap satu perasaan yang lahir
hanya kerana aku sudah tidak percaya

mimpi agaknya masih indah
kerana dunia masih belum mahu memutuskan
perhubungan dengan kita
rentang masa yang terburai bersepah dengan
angan-angan dulu memang tak akan bangun semula
untuk menuntut keperluannya - kerana ia tidak berhutang apa-apa

getar mungkin tak didengari lagi
gelombang mungkin makin lemah dan memadam
tetapi ada satu getus yang akan melahirkan
antara nada sumbang yang tak mahu diketahui orang
yang gejolaknya akan keluar dari corong yang
kotor

mimpi aku adalah kepercayaan aku (dulu)
dan kini, mimpi masih menyedut tenaga yang melemaskan nafsu
hari ini, aku bersedia untuk membunuh kepercayaan itu
untuk menjadikan aku tak percaya lagi dengan
mimpi sepuluh tahun lamanya itu.

membungkam bunyi-bunyian menukar mimpi itu jadi bisu


bangsar
18 jun 2008

Friday, May 22, 2009

jangan kau tanya tentang itu lagi

sebuah gambar tak hanya ada bayang:
ia bercerita dari balik kertas
tentang keindahan cahaya dan warna - atau warna mati -
dengan momen-momen radikal

kemesraan yang tak lama
kebencian yang bersarang
senyum yang tak siap
cinta yang penuh tragis
derita yang melarut
kekayaan yang dibakar
kalut dihari-hari mendatang
orang hidup yang mahu menyertai mati

keterlarutan sebuah gambar tak akan hilang:
daripada menyimpan bermacam-macam
kesah yang tak semua menyenangkan

p.d.
21 mei 2009

malam panjang dipintu sengsara

(dalam ingatan reinaldo arenas)

di-tepi jendela
mendengarkan sang bulan
--- sebelum malam tiba

kerinchi
21 mei 2009

Thursday, May 14, 2009

baris pendek untuk apa?

hey!

apa yang kau makan?
apa yang kau muntah?
apa yang kau berak?
apa yang kau dengar?
apa yang kau lihat?
apa yang kau kerja?
apa yang kau jolok?
apa yang kau bunuh?

apa kau?

jangan ingat tak ada yang tahu. Sial!

14 mei 2009
pj

Monday, May 4, 2009

terbang

(buat nyawa-nyawa yang terlepas sebelum waktunya)

Kau dan aku tahu
yang kita tak pernah tahu
bila sebetulnya waktu itu patut tiba.
Dari jendela
mata jadi layu
bila mesin nyawa tak lagi berdenyut malam tadi.

Antara seksa dan lapang
antara air mata dan merelakan
waktu ini, sampai bila-bila pun
maksud dan makna ada terlipat
di pinggir sana
dan pengertian belum tentu menyebelahi kita.

Fajar mula tinggi, cerah makin menyimbah sebelum kembali mendung.
Waktu ada duka, itu bukan kehendak kita.
Kelahiran dan kematian masih dalam bentuk yang sama
kekal dan begitu.

Kemudian, pada langit lepas, kata-kata Soe Hok Gie semena terbit – kutipan dari filasuf Yunani lama:

“Nasib terbaik adalah tidak dilahirkan. Yang kedua dilahirkan tetapi mati muda, dan yang tersial adalah umur tua. Rasa-rasanya memang begitu. Bahagialah mereka yang mati muda.”
(Jawapan Silenus kepada pertanyaan Midas)
.. .. – Dan, Gie juga mati muda, di usia 27, di sebuah cerun gunung.

Makanya,
berbahagialah nyawa-nyawa yang terlepas daripada kecondongan awan gelap dunia.

Al-Fatihah.



4 mei 2009
bilik hujung

8.45 pagi

Monday, April 27, 2009

ahad

Tidak ada apa yang lebih memuncak getir syahwat
Di hari Ahad selain
Berhadapan dengan siang dan malamnya dengan para
Pelacur baris kata dan deru bunyi yang menggoncang
Yang sentiasa tahu untuk memuaskan nafsu dan melunas
Rasa yang tertangguh selalu

Pagi tak ada lain yang boleh dibiar
Dari lentang di-katil dan ruang tamu dengan
Buku-buku berganti kata:

(Pilihanraya atau Pilihan Jalan Raya – Hishamuddin Rais dan Before Night Falls – Reinaldo Arenas)

Menelusuri bait-bait kata yang menyusun catatan pengalaman jalan-jalan hidup memberhentikan masa untuk aku terus berkhayal dalam dunia naratif dan memoir yang cukup-cukup indah – dan banyak luka.

Sehari ini, debu cinta bertebaran di-atas dada. Bertelanjang menghadap dunia kecil yang menakjubkan (membaca dan geli-geli), garis cerita-cerita yang lebih penting daripada apa-apa berita akhbar ataupun kesah politik kentut tak ada telur.

Bila senja makin menghampar, adam dan hawa juga harus tersadai sama tanpa ada lain-lain pilihan. Merangkul dipukul, menginjak dihenjut, mengelak tak lari. “Belai dulu biar lembut dan jangan gopoh.” Akhirnya cinta melengkapkan saki-baki siang sebelum malam menjelma untuk kita senyap. Dunia sudah terlalu banyak kecelakaan, dan kita tak perlu menambahnya. Cinta adalah mujarab paling lembut dan kadang-kadang bunyinya angkuh dan menakutkan. Menjelang malam, di-atas katil yang beralih, dua orang dan dua buku memasuki dunia yang berbeza-beza semula, dibelit susunan kata-kata yang mengandung cerita pedih.

Satu hari yang rimbun dengan rasa cinta, diselerak oleh buku-buku yang berbicara dengan berani dan tak malu-malu dan sambil telinga juga digetus oleh muzik-muzik rock dan punk kurang ajar (dan pengakuan) dari The Clash, Ramones juga Morrissey, kita akan melupakan segala kepayahan dunia – walaupun ketika itu poket sedang kosong tak berisi. Jika hati rasa sayu seperti selalunya, jangan malu-malu lari bersendiri di tikar sembahyang. Berbicaralah dengan Tuhan semahunya. Maghrib adalah waktu paling absurd kepada manusia setelah subuh dinihari.

Selepas jam berdetik perlahan-lahan meninggalkan koyak, buku-buku, muzik rock dan seks akan mengisi sedikit bahagian jiwa yang lompong. Malam datang membawa senyum sebelum kita berpisah lagi.



27 april 2009
p.d

lekat

Khamis lalu adalah pertama kali kita memasuki
Kehangatan dan kesakitan yang manja
Setelah angin-angin dari Shanghai direndam
Bersama dalam bau masam peluh lelah Kuala Lumpur.

Bercengkerama di celah senja
Telanjang menghadap langit jingga yang
Disambut juga oleh suara surah suci dari corong siar raya surau
Turut sesekali datang menjengah garang.

Momen itu agaknya membuatkan kita saling gemuruh
Sayu hujung hari yang panjang terputus oleh desah basah
Rasa ngilu dan hinggut yang turut sama dinyanyikan pipit di-luar jendela
Lalu memerangkap syaitan.

Yang lemas dalam tangis kawanan angkatan mereka kerana
Tak ada lubang lagi untuk diresap,

Masuk.
Merasuk.



27 april 2009
kerinchi

Wednesday, April 15, 2009

kebas di-atas katil

Tuhan,
Pagi ini aku tak bingkas bangun.
Apa yang berlaku?

Aku sedar dalam terlentang atas katil
sambil mata tak kebil merejam siling.
Aku rasa keseorangan. Hati ngilu. Dan, dalam sebu itu aku tahu aku mencari.
Dalam adalah kekosongan, dalam adalah kesunyian.
Semua ini adalah luar biasa kerana aku waktu ini tak pernah meminta-minta untuk dihantar ke-sana.
Aku jadi tak faham waktu walau aku tahu Kau di-situ.
Tiba-tiba bayang orang merintih menangis terhampar di-sana.
Apa perlu kesakitan itu? Untuk orang-orang yang kecil seperti kami?

Dua jam aku terlantar kejang di-situ menyebut-nyebut nama-Mu.
Sepanjang itu juga aku merasa aneh, satu perasaan yang tak mampu diungkap.

Terlalu melankolik.
Terlalu sebak.
Terlalu tepu.
Terlalu kebas.
Terlalu kering.

Dan mata masih terpesona di lantai siling. Mulut masih menyebut nama-Mu Tuhan.



13 april 2009
p.d.

Thursday, April 9, 2009

selepas hujan

aku kalungkan senja warna jingga dileher kamu
sewaktu kita berselisih antara
kenal dan asing, Maria.
litup kepala dan seluar senteng,
selipar jepun, semua sama menderu
mahu ditumpahi hujan.
kamu berjalan dalam rintis-rintis yang musykil
ditelan kagum dalam seni bangun kota kami.
di balik gema azan dan suara ayat-ayat suci
raut wajah kamu yang tak ternampak masih tertambat
dalam jantung yang masih mahu degup kamu didengari
dari mesin garisan-turun-naik
menarik-narik nyawa dihujung talian
dan mata kamu bundar, aku ingat lagi kerana aku sangat hiba.
setelah hujan nanti, jangan layap. Nanti dirempuh dan aku belum rela kenangan beberapa saat kita ditepi jalan itu dihapus dan bunyi hon serta mesin wad terus membawakan berita malang.
sebelum aku sempat mengalungkan lagi
hujan Kuala Lumpur di dada kamu
diwaktu lain jika kita ditakdirkan bertemu. Atau bila ingatan terpaut lagi.
imej kamu dengan jaket hujan lencun itu aku simpan,
dan aku sudah bersedia untuk melepaskan titis hujan terakhir,
juga kepada senja dan untuk kamu
yang makin gelap dan tak cantik lagi.
tiada lagi warna jingga. Kamu tahu harapan masih ada.


5 april 2009
7.34pm
p.d.

Monday, March 23, 2009

lemas

kamu pernah berkata, kamu lemas
dalam janggut itu
tetapi, jangan terlupa
yang aku juga selalu
lemas di dalam helai rambut kamu yang
hitam.

kini, helai rambut yang mana lagi mahu kita perihalkan?

23 mac 2009
p.d.

Thursday, March 19, 2009

air mata hati

(buat mereka yang kehilangan sayang)

air mata ini
yang gugur bertahun-tahun selepas
hati jadi dingin dan bicara jadi beku
seperti tidak membawa maksud apa-apa lagi.

kata cinta terus jadi rahsia antara kita
terselindung dalam maksud yang paling layap.
rahsia yang disimpan dibawah agama,
rahsia seperti hal-halnya Tuhan.
baru kini aku ketahui, kau kerap mengirimnya di dalam
setiap doa-doa yang
tak pernah walau sekalipun dilalaikan.

sekarang ini, diantara angin dan waktu
aku basahkan tanah pusara dengan
air mata dan air hati
yang sepatutnya mencurah
segala rasa sayang
bertahun-tahun dahulu.

hanya tanah merah ini sempat aku sentuh
dan kamu tetap menjauh.

berbahagialah,
kini waktunya sudah sampai untuk aku pula menangis
dan mengirim bait-bait cinta (dan nama)
dari dalam doa sambil merelakan mata melepaskan nisan.
entah sampai bila.

Aku basah.
Aku rebah.


19 mac 2009
kerinchi

Thursday, March 5, 2009

pokok

(untuk mereka yang berdewan dibawah pohon - termasuk Raja Isketambola)

dari pucuk puncak pohon ini
air menetes perlahan sambil bersinar silau
kerana bahang mentari dan cahayanya turun sama
membenih semacam harapan
yang namanya amat menggerunkan
menjadikan ada orang seram sejuk,
alergik dalam ketakutan

yang nanti akan tumbuh
menaungi anak-anak yang
tak terbela
berpuluh ribu (mungkin juta) itu


5 mac 2009

burung

(untuk mereka yang percaya)

aku pernah melihat
burung-burung terus terbang
walau didepan menanti adalah
hujan
ribut
petir
pelepah sayap yang basah
bukan beban yang melumpuh
kalau pun patah, burung tak senang mahu mengalah
terjongket
seret
mengesot
aku panjangkan doa untuk kamu burung
agar terus terbang, tak jatuh
kerana di sana ada pohon untuk berehat
sementara menanti kepak-kepak
kering dan pulih

5 mac 2009

Tuesday, February 24, 2009

kata-kata

kata-kata adalah keindahan seksual
dia keluar bersama bunyi
jalan bersebelahan
dan mereka berdua tak pernah curang!

24 februari 2009
bangsar

Monday, February 23, 2009

buah dada tiang lampu

mereka melihat buah dada kamu
bergoncang-goncang tergantung di tiang lampu
tepi jalan yang kerap orang lalu lalang

kamu kata kamu suka begitu
jadi, jangan marah-marah bila
mereka mula cuba mencapai-capai
untuk merasai kekenyalan

lagi elok, berbanding kalau kamu
hanya menayang-nayang dan diludah burung bertenggek
tak sepatutnya jadi begitu, kan?

buah dada tak sepatutnya dibiar
mekar tanpa ada yang menyekar

rupa-rupanya
tangan-tangan tak jadi mengimpikan nikmat itu
kerana kamu terlampau tinggi
dan, kaki mereka – berserta akalnya sekali –
terlalu pendek untuk memegang
apa pun

maka, biar saja kamu tersidai di-situ
sampai-bila-kamu-punya-suka


21 februari 2009
pantai dalam

kalung lekuk

(buat aida syeliza)

lekuk dan lohong
hidung kamu
kini menjadi sebahagian daripada
tubuh badan aku
yang membenarkan aku untuk terus benafas

meski tak selamanya waktu akan
mencemburui kita – dan sakit-sakit kian reda –
saat ini terasa terlalu lapang dan aku takut
dan, aku tiada udara untuk
disedut – hembus

tambat aku ditengah hamparnya waktu
dan, turunkan aku nanti bila kita
sama-sama bersedia kembali

aku terlalu malas untuk membuka rongga
menarik nafas
ketika kamu tidak ada di-sisi
menemani aku

selamat senja, sayu dan maghrib mulai jatuh cinta pada kita!
hari akan sembuh sama macam sediakala

7.48pm
21 februari 2009
p.d.

kurus

panggang aku biar
terlerai daging dari badan
kerana untuk itu,
aku akan berterima kasih
sungguh-sungguh
pada kamu!

21 februari 2009
p.d

Wednesday, February 18, 2009

catit

Dari Jepun.

dinding

kalau angka dapat bertambah
pada dinding
tak akan ada khayal yang tertindih
sempit sampai tak mampu keluar
dalam kerelaan
sepenuh hati
dalam masa-masa yang
belum selesai banyaknya!

18 feb 2009

Wednesday, February 11, 2009

oleh kecil dan kecil: tengah malam hingga 4 pagi

untuk sebelas tahun aku telah sesalkan ia,
menyesal yang aku tidak lakukan apa
yang hendak aku lakukan ketika aku duduk di sana
empat jam melihat dia mati. Aku mahu
merangkak di dalam-antara alat mesin itu
dan rangkul dia dalam pelukan aku, mengetahui
asas, sedikit lebihan ingatannya
samar-samar mengenali bahawa akulah
yang membawa dia ke tempat yang sedang dia tujui.

----
-Terjemahan sebuah sajak Jack Gilbert dari buku Refusing Heaven.

8 februari 2009

esok mereka mati

ketika kita duduk di sini
dilitup bumbung hangat dingin
di bawah langit malam yang kadang-kadang tak adil dan ganas

di sana ada anak-anak yang
kepalanya berderai
otaknya bersepai
vagina yang ditusuk oleh zakar-zakar
tentera negara-negara tak bersatu
yang menakluk di atas nama tuhan dan menghindar keganasan (moyang mereka)

taman nasib
31 januari 2009

Thursday, February 5, 2009

sepotong.cinta.bebas

di antara dua telinga
ada sepotong sajak yang tertinggal
menunggu untuk didengari

pinggir hati jadi damai
rela menemukan tembok besar
yang dilitupi bunga putih
bernama kamu

sajak adalah cinta
cinta mengandung rasa
yang akan terus terlepas
bebas

5 februari 2009
bangsar

Tuesday, February 3, 2009

babi politik

dari balik kornea mata yang tergeliat
raut orang-orang politik kita
dalam detik yang singkat
bertukar menjadi babi

berkepala besar dan berperut loroih
cukup sifat, sama macam babi yang betul-betul hodoh

tetapi

harus kita akur
mereka juga diciptakan tuhan

kasihan mereka yang memilih untuk menjadi babi dan tidak mampu (atau mahu) mempertimbangkan hal-hal yang lebih molek!

3 feb 2009
jalan riong

bibir dan darah

aku berdosa!

kerana ketika ini aku tak sanggup
mencumbui bibir mekar mu
yang dihanyiri dengan darah pekat, memancut dan membasah
bersama dosa-dosa kaum manusia

aku berdosa padamu
wahai Palestin!

aku berdosa!

3 februari 2009
jalan riong

Thursday, January 22, 2009

dari tokyo ke odawara dan balik ke petak asal

siang. dia seorang perempuan muda. di dalam kereta menuju Odawara.
"apa agama besar orang Jepun?"
"Buddhist. juga Kristian."
"Shinto?"
"oh, ya. ramai. ramai."
"bagaimana dengan kamu?"
"saya tidak serius dengan agama. saya raikan semua."

malam. dia juga seorang perempuan - lain. di dalam restoran teppanyaki di pinggir Ginza.
makanan di hadapan. dia meletak chopstik di celah ibu jari. dua tapak tangan merapat. mulut terkumat-kamit menyeru.
"maafkan saya bertanya. apa yang kamu lakukan tadi?"
"saya memohon untuk dibenarkan menjamah makanan."
"daripada siapa?"
"saya tak tahu."
"itu ajaran agama?"
"saya tidak ada agama. itu diajar oleh ibu bapa saya dulu. 'a Japanese custom'. tetapi suami saya seorang Kristian."

dan, kedua-dua perempuan ini lebih baik dan lembut sifat daripada kebiasaan mereka-mereka yang percayakan tuhan dan mendakwa ingin menegakkan agama mereka (dengan penuh kebencian) - walau apa pun jenis agama yang dimaksudkan - yang sering kita depani, teman-teman yang dikasihi.

bagaimana sekarang?

tokyo-odawara
19-20 januari 2009


tokyo

semalam aku berpisah buat sementara waktu dengan angin Tokyo.
jahat. intim. sopan. teknologi. masa. laju. cantik. lucah. seks. air tapai. tepanyaki. meluat sampai tak lepas mata memandang. sampai bergetar badan berjalan di atas jejantas bertingkat di Ginza. mengkagumi dan disayangi. melayang dan tenggelam.
tulisan-catatan kasar-rojak belum sempat dihalusi. Nanti akan ada cebisan dari sana.
dan tiada sajak-sajak jenaka kerana ia tidak begitu selalu. cuma jarang-jarang.

22 januari 2009
bangsar