Tuesday, September 28, 2010

tidak lagi di sini

Silakan
kamu-kamu
ke ruang baru ini.

Aku
tidak
lagi
di sini.

Monday, August 30, 2010

sebelah kasut

Kasut merahmu mekar sekali, wahai rindu.
Di mana kamu mendapatkannya?
Kerana aku, sepanjang malam-malam
Dingin yang dituruni hujan dan basah embun ini
Tetap ditolak ke sudut paling hiba, tanpa warna.

Aku bukan tak pernah melihat, air matamu jatuh
Melaut sama kerinduan dari zaman yang kelam.
Mengapa kamu pergi dan meninggalkan
Abu mayatmu di altar suci tanpa penunggu?

Ke mana hilang anak-anak kecil dengan
Sayap-sayap malaikat, yang sejak lama dulu menemani kita?
Entah ribut yang mana datang meredupkan gelisah
Hingga kita jadi lupa
Pada bayang-bayang ngeri
Yang pernah datang dulu
Dan menghukum.

Terlalu singkat, rindu.
Untuk kita meratapi semuanya.

Pergilah terbang jauh dan jangan lagi
Mengharap untuk hinggap di tubir
pintu singgahsana mereka.
Kerana, tempat kita bukan di sana.


HH, 30 Ogos 2010.
Kuala Lumpur

Thursday, July 29, 2010

kuburan

Dari kuburan yang menebar harum kemboja
Mawar menguncup dalam rajuk radang yang panjang.
Akan kami timbuskan nyawamu dari tempat
di mana kami dibungkam.
Jangan dilupa, harum yang menggoda itu
akan membuatkan kau selalu mengenang
dosa pembunuhan itu.


-HH, 28 Julai 2010.

Thursday, June 3, 2010

aksara

Di antara lembar kertas dan baris ayat,
kami temukan sebuah jendela.
Di luar jendela, sebuah cermin lama; kotor
berdebu sedang cuba memprojeksi imej masa lampau. Bawa kemari. Kepada waktu nanti.
Aku membuang pandang yang dalam kepadanya,
mencari sang kekaseh yang hilang. Atau mungkin yang belum pernah dikenali.
Dia tetap menulis bait-bait emosi yang resah, mengingati aku yang
tertimbus oleh dosa-dosa masa lalu dari orang lain.
Tetapi maseh kelihatan, kekasehku.
Raut wajah pucat lesi yang sedang bertarung
antara cahaya dan kegelapan di luar.
Ingatan buat helai kertas dan aksara yang
selalu menemukan kita ketika bahasa jadi kaku
dan sang penulis jadi kabur dari jalan panjang
yang sedang dilalui.


-HH, 1 Jun 2010.

Friday, May 21, 2010

orkestral gempita

Orkestra gagal. Sepatu hitam tak berkilau. Karpet merah memanjat
sampai ke betis dan pangkal peha; meraba dan mencabul - orang akan gelisah.

Kenapa, wajah itu tak siap? Untuk dipersembahkan.
Seperti ada perempuan telanjang yang bergayut di kelopak
mata; berahi tanpa kuasa. Tenaga dalam tubuh itu barangkali
sudah disedut keluar oleh cinta; cinta yang patah sayap dan
tak kesampaian menuju jingga dan unggu hujung hari seperti
yang diharapkan kerana gempal. Yang tersisa cuma lagu-lagu dari kaset lama,
tentang harapan, dengan melodi sumbang-senget dan bayangan-bayangan tanpa imajinasi
baru.

Bergoyang sudah. Kaki dan badan, yang tentunya dalam rentak dada
berombak kencang dan halkum tersangkut pada mata pancing yang mengiurkan.
Belum lama sebelum menelan racun dan terjulur lidah terjerat. Wayang-wayang
yang bermain semuanya bermula dengan keinginan yang memuncak tetapi berakhir
dengan ketakutan teramat nyeri.

Kemudian datang seorang perempuan tua;
jasad yang hampir roboh, bukan dengan kekuatan zahir untuk memerintahkan kekerasan.
Yang ada hanya prosa-prosa ringkas yang digeluti tanda soal: 'kenapa kau bunuh mereka?'

Dari mata, singa menerkam. Dari hati, geram menghambur. Tak ada suara dalam tona keras,
semua ayat dalam kontras kelembutan.

Tiada rayuan. Hanya kejujuran yang menggerunkan. Dan itulah yang akan menyelubung dan membunuh juga.

Bergetar dan tergadai sampai hujung nafas.


- Bangsar, 21 Mei 2010.

Tuesday, May 11, 2010

peluru dan sunyi

Kedinginan dini hari boleh saja menukar hati jadi beku.
Belum sempat terjatuh wahyu dari langit malam itu
sebelum bebal terlerai, menyebalkan titis-titis embun
dihujung pucuk kuncup; sejuk dan ketakutan.
Apakah ada singa yang sedang mencakar jantungmu
sampai terasa nyeri hingga ke jari?

Boleh kami bertanya, apa sebenarnya yang terkepung dalam akalmu
ketika butir-butir peluru mula meninggalkan larasnya?
Senyap tak apa-apa. Jadinya ruang terpengap dalam kepala berbicara sendiri;
“tak ada apa yang menghuni fikiran waktu itu, hanya sebeban kekosongan yang murung.”

Entah kenapa, hiruk-pikuk yang hadir awalnya tiba-tiba berganti hening;
bulan hilang chahaya, pungguk hilang suara. Rindu tak ada lagi, lari bersama kesedihan dan kejutan. Burung hantu saja yang merajalela di laluan udara,
mengusung satu nyawa yang dihabiskan oleh kekeliruan dan kebodohan
untuk dibawa ke jauh sana.

Hantu-hantu mula menyeringai. Suara-suara mula kedengaran aneh-aneh, tentu saja menakutkan. Nyawa yang dikandung badan tersangkut diparas hidung
sementara emosi meledak tak terkawal.

Ampun yang mana perlu dinilaikan terlebih dahulu?
Tolong jelaskan. Aku tak mahu mati ditangan kamu.


- HH, 4-11 Mei 2010.

Thursday, March 25, 2010

jangan cakap

Apa rasanya ketika ketayap itu ditanggalkan dari kepala, kawan?
Setelah berpuluh tahun terpengap, jangan bebohong (untuk sekali ini); angin yang bertiup dari celah-celah rambut itu, walaupun nikmat dan nyama, tetap membawa sama bau-bau busuk kulit kepala yang masam kepada orang lain, bukan? Dan kamu bercakap lagi tentang iman, iman yang tak goyah. Dari mana datangnya pengukur untuk menilai iman sendiri? Lalu kami ini apa? Bontot keldai? Sekurang-kurangnya kami tidak berpura-pura. Tidak seperti kamu yang sedang parah menahan diri daripada mengakui sahihnya, kamu juga mengimpikan angan-angan yang tak sampai (atau belum sampai, tetapi sedang diusahakan).

Mulianya kamu, sampai berdentum langit mendengar kebenaran yang kamu sampaikan. Tiada nista di belakang, dosa tak pernah melekat di punggung.

Orak-arek cakap-cakap itu melemaskan. Jangan kata ada iman yang bersekongkol dengan kebanalan akal. Kamu sedar atau tidak, hanya mata-mata juling saja yang sedang memerhatikan dan hanya telinga-telinga bernanah saja yang samar-samar sedang mendengarkan kamu?

Dan, janggut kamu itu bagaimana? Bisa menjadikan otak makin geliga?



-HH, 25 Mac 2010. Kuala Lumpur

Wednesday, February 17, 2010

oh jakarta

Renungmu membawaku hanyut
di dalam rintih yang tidak lagi terpendam.
Kamu mengaduh sakit, tetapi masih cuba tersenyum.
Aku hanya mahu melingkar di antara perih-jerih
pejalan kaki yang perasaannya kacau-bilau.
Aku ingin dihinggapi diarrhea yang meracun
jasad bersama kamu yang masih menangis. (Dan benar, aku sudah mendapatkannya.)
Temanilah aku untuk seketika. Sebelum senja kali ini
berakhir dan aku terus pergi.


16 Februari 2010, Kuala Lumpur.

Friday, January 15, 2010

hujan di mana, pagi itu?

penghidupan.
perlu.
ada.
harapan.



-HH, 15 Januari 2010

Monday, January 11, 2010

dipenghujung suatu permulaan

Malam itu, ketika cahaya bulan
tumpah dirautmu yang gementar,
bulan seperti berbicara sesuatu kepadaku;
"Andai semua kekurangannya dihimpun
menjadi lautan, adakah kau tetap akan berenang merentas kalut ombak dan
racau hati yang selalu mencemburui antara kamu?"

Kau tak akan tahu semua itu
kerana aku telah melalaikan inderamu
daripada kisah-kisah lirih antara tembok dan tubuh,
agar kau sentiasa tenang merebahkan kepala
pada bahu yang sekerat ini tanpa kekhuatiran lain.

Tak ada semi musim bunga yang lebih indah
daripada kuntum senyum mu dikala resah.
Malaikat pasti berbuat baik kepadamu
walaupun aku nanti akan terbakar tanpa abu.

Berjanjilah wahai bunga, bila dipersiapkan
sebuah ranjang pada satu malam yang hening untuk kita,
tenggelamkanlah jiwaku di dalam jiwamu.
Aku tak mahu lagi bercanda dibibir kesepian.

Tak ada apa lagi yang aku inginkan ketika ini
selain daripada meranduk hempas gelora ditubuhmu.

Dan aku akan meninggalkan benih-benih comel yang tetap
akan diingati bila nyawa kita terputus.



HH, 7 Januari 2010,
KL.