Friday, May 21, 2010

orkestral gempita

Orkestra gagal. Sepatu hitam tak berkilau. Karpet merah memanjat
sampai ke betis dan pangkal peha; meraba dan mencabul - orang akan gelisah.

Kenapa, wajah itu tak siap? Untuk dipersembahkan.
Seperti ada perempuan telanjang yang bergayut di kelopak
mata; berahi tanpa kuasa. Tenaga dalam tubuh itu barangkali
sudah disedut keluar oleh cinta; cinta yang patah sayap dan
tak kesampaian menuju jingga dan unggu hujung hari seperti
yang diharapkan kerana gempal. Yang tersisa cuma lagu-lagu dari kaset lama,
tentang harapan, dengan melodi sumbang-senget dan bayangan-bayangan tanpa imajinasi
baru.

Bergoyang sudah. Kaki dan badan, yang tentunya dalam rentak dada
berombak kencang dan halkum tersangkut pada mata pancing yang mengiurkan.
Belum lama sebelum menelan racun dan terjulur lidah terjerat. Wayang-wayang
yang bermain semuanya bermula dengan keinginan yang memuncak tetapi berakhir
dengan ketakutan teramat nyeri.

Kemudian datang seorang perempuan tua;
jasad yang hampir roboh, bukan dengan kekuatan zahir untuk memerintahkan kekerasan.
Yang ada hanya prosa-prosa ringkas yang digeluti tanda soal: 'kenapa kau bunuh mereka?'

Dari mata, singa menerkam. Dari hati, geram menghambur. Tak ada suara dalam tona keras,
semua ayat dalam kontras kelembutan.

Tiada rayuan. Hanya kejujuran yang menggerunkan. Dan itulah yang akan menyelubung dan membunuh juga.

Bergetar dan tergadai sampai hujung nafas.


- Bangsar, 21 Mei 2010.

Tuesday, May 11, 2010

peluru dan sunyi

Kedinginan dini hari boleh saja menukar hati jadi beku.
Belum sempat terjatuh wahyu dari langit malam itu
sebelum bebal terlerai, menyebalkan titis-titis embun
dihujung pucuk kuncup; sejuk dan ketakutan.
Apakah ada singa yang sedang mencakar jantungmu
sampai terasa nyeri hingga ke jari?

Boleh kami bertanya, apa sebenarnya yang terkepung dalam akalmu
ketika butir-butir peluru mula meninggalkan larasnya?
Senyap tak apa-apa. Jadinya ruang terpengap dalam kepala berbicara sendiri;
“tak ada apa yang menghuni fikiran waktu itu, hanya sebeban kekosongan yang murung.”

Entah kenapa, hiruk-pikuk yang hadir awalnya tiba-tiba berganti hening;
bulan hilang chahaya, pungguk hilang suara. Rindu tak ada lagi, lari bersama kesedihan dan kejutan. Burung hantu saja yang merajalela di laluan udara,
mengusung satu nyawa yang dihabiskan oleh kekeliruan dan kebodohan
untuk dibawa ke jauh sana.

Hantu-hantu mula menyeringai. Suara-suara mula kedengaran aneh-aneh, tentu saja menakutkan. Nyawa yang dikandung badan tersangkut diparas hidung
sementara emosi meledak tak terkawal.

Ampun yang mana perlu dinilaikan terlebih dahulu?
Tolong jelaskan. Aku tak mahu mati ditangan kamu.


- HH, 4-11 Mei 2010.