Monday, April 27, 2009

ahad

Tidak ada apa yang lebih memuncak getir syahwat
Di hari Ahad selain
Berhadapan dengan siang dan malamnya dengan para
Pelacur baris kata dan deru bunyi yang menggoncang
Yang sentiasa tahu untuk memuaskan nafsu dan melunas
Rasa yang tertangguh selalu

Pagi tak ada lain yang boleh dibiar
Dari lentang di-katil dan ruang tamu dengan
Buku-buku berganti kata:

(Pilihanraya atau Pilihan Jalan Raya – Hishamuddin Rais dan Before Night Falls – Reinaldo Arenas)

Menelusuri bait-bait kata yang menyusun catatan pengalaman jalan-jalan hidup memberhentikan masa untuk aku terus berkhayal dalam dunia naratif dan memoir yang cukup-cukup indah – dan banyak luka.

Sehari ini, debu cinta bertebaran di-atas dada. Bertelanjang menghadap dunia kecil yang menakjubkan (membaca dan geli-geli), garis cerita-cerita yang lebih penting daripada apa-apa berita akhbar ataupun kesah politik kentut tak ada telur.

Bila senja makin menghampar, adam dan hawa juga harus tersadai sama tanpa ada lain-lain pilihan. Merangkul dipukul, menginjak dihenjut, mengelak tak lari. “Belai dulu biar lembut dan jangan gopoh.” Akhirnya cinta melengkapkan saki-baki siang sebelum malam menjelma untuk kita senyap. Dunia sudah terlalu banyak kecelakaan, dan kita tak perlu menambahnya. Cinta adalah mujarab paling lembut dan kadang-kadang bunyinya angkuh dan menakutkan. Menjelang malam, di-atas katil yang beralih, dua orang dan dua buku memasuki dunia yang berbeza-beza semula, dibelit susunan kata-kata yang mengandung cerita pedih.

Satu hari yang rimbun dengan rasa cinta, diselerak oleh buku-buku yang berbicara dengan berani dan tak malu-malu dan sambil telinga juga digetus oleh muzik-muzik rock dan punk kurang ajar (dan pengakuan) dari The Clash, Ramones juga Morrissey, kita akan melupakan segala kepayahan dunia – walaupun ketika itu poket sedang kosong tak berisi. Jika hati rasa sayu seperti selalunya, jangan malu-malu lari bersendiri di tikar sembahyang. Berbicaralah dengan Tuhan semahunya. Maghrib adalah waktu paling absurd kepada manusia setelah subuh dinihari.

Selepas jam berdetik perlahan-lahan meninggalkan koyak, buku-buku, muzik rock dan seks akan mengisi sedikit bahagian jiwa yang lompong. Malam datang membawa senyum sebelum kita berpisah lagi.



27 april 2009
p.d

lekat

Khamis lalu adalah pertama kali kita memasuki
Kehangatan dan kesakitan yang manja
Setelah angin-angin dari Shanghai direndam
Bersama dalam bau masam peluh lelah Kuala Lumpur.

Bercengkerama di celah senja
Telanjang menghadap langit jingga yang
Disambut juga oleh suara surah suci dari corong siar raya surau
Turut sesekali datang menjengah garang.

Momen itu agaknya membuatkan kita saling gemuruh
Sayu hujung hari yang panjang terputus oleh desah basah
Rasa ngilu dan hinggut yang turut sama dinyanyikan pipit di-luar jendela
Lalu memerangkap syaitan.

Yang lemas dalam tangis kawanan angkatan mereka kerana
Tak ada lubang lagi untuk diresap,

Masuk.
Merasuk.



27 april 2009
kerinchi

Wednesday, April 15, 2009

kebas di-atas katil

Tuhan,
Pagi ini aku tak bingkas bangun.
Apa yang berlaku?

Aku sedar dalam terlentang atas katil
sambil mata tak kebil merejam siling.
Aku rasa keseorangan. Hati ngilu. Dan, dalam sebu itu aku tahu aku mencari.
Dalam adalah kekosongan, dalam adalah kesunyian.
Semua ini adalah luar biasa kerana aku waktu ini tak pernah meminta-minta untuk dihantar ke-sana.
Aku jadi tak faham waktu walau aku tahu Kau di-situ.
Tiba-tiba bayang orang merintih menangis terhampar di-sana.
Apa perlu kesakitan itu? Untuk orang-orang yang kecil seperti kami?

Dua jam aku terlantar kejang di-situ menyebut-nyebut nama-Mu.
Sepanjang itu juga aku merasa aneh, satu perasaan yang tak mampu diungkap.

Terlalu melankolik.
Terlalu sebak.
Terlalu tepu.
Terlalu kebas.
Terlalu kering.

Dan mata masih terpesona di lantai siling. Mulut masih menyebut nama-Mu Tuhan.



13 april 2009
p.d.

Thursday, April 9, 2009

selepas hujan

aku kalungkan senja warna jingga dileher kamu
sewaktu kita berselisih antara
kenal dan asing, Maria.
litup kepala dan seluar senteng,
selipar jepun, semua sama menderu
mahu ditumpahi hujan.
kamu berjalan dalam rintis-rintis yang musykil
ditelan kagum dalam seni bangun kota kami.
di balik gema azan dan suara ayat-ayat suci
raut wajah kamu yang tak ternampak masih tertambat
dalam jantung yang masih mahu degup kamu didengari
dari mesin garisan-turun-naik
menarik-narik nyawa dihujung talian
dan mata kamu bundar, aku ingat lagi kerana aku sangat hiba.
setelah hujan nanti, jangan layap. Nanti dirempuh dan aku belum rela kenangan beberapa saat kita ditepi jalan itu dihapus dan bunyi hon serta mesin wad terus membawakan berita malang.
sebelum aku sempat mengalungkan lagi
hujan Kuala Lumpur di dada kamu
diwaktu lain jika kita ditakdirkan bertemu. Atau bila ingatan terpaut lagi.
imej kamu dengan jaket hujan lencun itu aku simpan,
dan aku sudah bersedia untuk melepaskan titis hujan terakhir,
juga kepada senja dan untuk kamu
yang makin gelap dan tak cantik lagi.
tiada lagi warna jingga. Kamu tahu harapan masih ada.


5 april 2009
7.34pm
p.d.