Monday, May 21, 2007

malam tiada bintang

di depan Pulau Jerejak
di atas bongkah batu tonggang-langgang
sepoi angin laut mencium pipi

kawanan tikus liar mencari habuan
menyendeng-nyendeng di tepi…
dia juga di tepi… rapat

tapi bila dongak ke langit

- hambar -

tiada pagar-pagar bintang
tiada kepul-kepul awan cantik

malam ini tak ada bintang
langit sepi
malam hiba
tiada berpasangan

tapi hatiku berbunga
kerna malam ini ada dia…

- 19 mei 2007 / 8.45 malam, pantai batu depan queensbay mall, pulau pinang

Friday, May 11, 2007

panas

panas
panas
panas

aku tidak pernah bercinta dengan kau
tapi kau masih selalu mengekori

- mencengkam -
- mencekau -

sampai keluar tetes-tetes peluh ku
tapi aku tidak menikmati itu
kau saja yang suka
ke mana aku pergi, kau temani
tapi mujur kau ada ‘datang bulan’

itu sajalah masa untuk aku lekang dari kau…

cengkaman kau kini luar biasa
tak macam kita baru-baru kenal dulu
kenapa ya?

siapa yang buatkan kau sampai jadi begini?
apa yang kau mahu dari aku?
atau aku memang berdosa pada kau?
pada kaum kerabat sekeliling kau?

aku benar-benar dihambat
oleh kehadiran kau
aku hanya suka bila kau menangis
kerana itu yang membuat aku sedikit tenang

-11 mei 2007

kepul asap hangus

aku di pekan pangkor
menghirup bau hangit
memandang kayu arang
mata gatal kena asap

- semalam pangkor terbakar –

satu hari selepas
orang masih ramai berkerumun
dalam ralit – tidak percaya
merenung sumber rezeki
deretan rumah kedai

semua sudah hangus
semuanya jadi; 4 mei pukul tiga pagi

roboh
hampir satu deretan sudah roboh
khabar angin
ekonomi pulau pangkor lumpuh
tapi orangnya masih seperti biasa
bergelak tawa tersenyum sengih

ada yang selongkar
mencari barang yang elok lagi
sarung tangan – serkup hidung
meredah bekas-bekas bara api

mencari apa yang hilang
moga bukan nyawa
sesak paru-paruku
duduk menghadap tempat tragedi
di bawah papan tanda ‘Bank Pertanian Malaysia’

hari makin gelap
orang ramai lalu lalang – tak usai
aku mahu pulang

+ abadi pangkor dalam kenang-kenangan +

7.25pm - 5/5/07 - pangkor