Thursday, January 31, 2008

pergi gemerlap

(sajak buat kepergian Loloq)

di Januari kali ini
bintang-bintang tak galak
untuk terus menyinar

malam-malam sunyi
benar semakin hening dihambat
sayap-sayap gelap penjaga pintu alam lain
yang datang membawa pesan
maha agung

- maka memanggil pulang -

anak-anak manusia yang dipinjamkan
kepada dunia

dia juga
genius perang kata yang dipinjamkan
bagi kaum yang mala tandus
idea-idea besar seni lagu

tadi
kembali
menyahut panggilan terakhir

dan kamu
jangan hadap untuk berperanan jadi penentu
baik-buruk-syurga-neraka
kerana kamu hanya manusia papa
yang belum tentu nasib di dunia

bintang yang satu ini luput cahaya
dan belum tentu akan ada lain orang yang mampu berpanah ke bintang lain yang jauhnya sama seperti itu

bintang-bintang
akan gugur lagi
di bulan-bulan indah yang lain

apa yang tinggal untuk kita? – cipta yang baru dengan semangat cahaya yang silau mencapah sudut-sudut tertinggal sebelumnya

- 31 januari 2008, bangsar

Sunday, December 30, 2007

bagi mengenali kamu

saat sepi aku bersama kamu
aku selalu belajar mengenali kamu
ada waktu
roh jiwa ini terasa ditarik-tarik
harus saja tercabut dan meresap
dalam pencarian yang
terlalu abstrak dan payah

sukar untuk aku ungkapkan semua
melainkan akrab jasad aku saja yang pilu
sering tenggelam dari atas tikar itu
dalam kesyahduan disentuh oleh
tangan kamu

rasa dan bukan lihat
waktu bersendirian dengan kamu yang kerap juga
aku ingkari kerna kedaifan jasad yang tak terbawa oleh roh sendiri
masih juga pintu ke arah kamu itu terbuka
sekurang-kurangnya, itu yang aku fahami


bila mana aku mula terkapai
bermain di jalan yang katanya sesat
kamu mendampingi juga aku
memaut dan memapah kembali
pada setiap langkah aku yang semakin
longlai

kamu menghukum aku dengan hikmah
dan dengan kemesraan itu juga aku mula merenung


dalam sepi itu; setiap kali ia berulang
aku berharap akan merasakan lagi
kehadiran kamu
membelai dan sekali gus
meninggalkan aku dalam resah
untuk menjawab soalan;
“bila lagi akan aku rasakan ini? ”
aku akur pada kasih sayang kamu…

-30 disember 2007, bangsar utama (2.10pm)

Friday, December 28, 2007

racun melankolis

biar saja
racun itu meresap pantas
dalam darah mereka

biar ia beku dan menyumbat
nadi-urat-saraf dan terkejang-kejang
ketar atas kertas pena dan mesin taip

mereka yang kerjanya
bermain dengan kata-kata
hasilan cereka besar karut-marut
dan diekornya
ada juga langau busuk yang selalu ikut tumpang
ke daerah mana pun sang pemain kata itu telusuri

betah melawan dengan bahasa yang difikirkan tinggi
sisih anasir yang katanya terpesong - yang mereka pun tidak faham
mereka adalah kefahaman hakiki
lagi mutlak

disua racun itu
untuk aku pula minum
dibiar saja sampai bisanya hilang
tak seteguk pun aku benarkan menuruni tekak tegar ini
tidak mahu aku mati melankolia sama macam mereka

yang
tak habis-habis meneguk
air enak rasa tapi di dalam rongga organ
memakan dinding sel dan meleraikan ia
sampai kesakitan itu tidak lagi dirasakan sakit
akan
tak henti-henti
ketololan dulu

biar racun itu memamah percik otak lemah yang dungu
seperti mereka

- 28 disember 2007 / bangsar