Wednesday, December 2, 2009

klandestine.

(ingatan buat segala yang haram)

Di dalam sebuah cerita dari sebuah cerita yang lain, pernah engkau membaca atau mendengar tentang kisah seorang budak, anak kepada seorang kolonel, yang mati dibunuh kerana di dalam kocek jaket luarnya ada tulisan dan cetakan-cetakan sastra klandestine? Kekhuatiran mereka memuncak ketika ada bayang gelap datang. Dan, kegelisahan sendiri-sendiri itu cuba ditamatkan dengan pembunuhan. Satu mati, esok lahir lagi yang lain. Tetapi, yang tak disedari, bayangan memang tak ada yang putih. Begitu nyawa yang satu ini melayang, selamanya dia akan dikenang. Dan, juga sastra yang tadi mahu dibungkam akan terus dicari dan muncul diantara lendir dan hanyir. Ketika kekuasaan sampai mengintip ke ruang tidur dan masuk ikut pintu belakang rumah, kita harus melawan! Kerana, mereka bukan Tuhan, untuk mengaku diri sastra.


Hafiz Hamzah, 2 Disember 2009.
Kuala Lumpur.

a.

(prosa untuk mata)

Matamu belum terkatup penuh ketika jasadmu meledak. Jika kerlingan itu mampu berbicara lagi, rohmu pasti tersangkut pada nyawa mereka yang sedang mendepanimu waktu itu; tersorok-sorok dibelakang bahu orang di depan dan pura-pura menutup mata agar tak melihat dirimu. Sesudah itu, mereka memang akan tersenyum, tetapi tetap dengan ketakutan. Ketika mereka benar-benar mahu menutup mata nanti - untuk tidur atau untuk mati - wajahmu akan tergantung dikelopak mata mereka, membiarkan mereka terus-terusan meracau. Mungkin sampai jadi gila. Dihambat dan berlari, melihat matamu menjegil sentiasa.


- Hafiz Hamzah, 2 Disember 2009.

Monday, November 9, 2009

sajak datang dengan pisau

sepotong sajak marah-marah kelmarin.
katanya dia rosak
dan mahu bunuh diri.

aku bertanya, kenapa?
dan dia menjawab;

aku sudah tak berdaya
diperlakukan sebegitu
dipeluk oleh kau yang tak siap
memahami aku

meramas setiap sudut batang tubuh aku seperti aku ini kau yang punya
menggeluti aku tanpa rasa bersalah
sedangkan kita belum sempat berkenalan dengan akrab dan saling
jatuh cinta.

dan, aku paling pantang ketika kau melahirkan anak-anak haram bersama aku
yang dibenihkan oleh hubungan yang tak dinikmati dengan hipokrasi menjalang.

kau berhutang banyak dengan aku
dan aku tak mahu lagi pura-pura mendampingi kau
membuatkan kau seperti hebat mengulum bait-bait kata lunak
yang hancing.

aku tak mahu.
pergi sekarang atau aku akan mati!


Hafiz Hamzah, 9 November 2009.
Kuala Lumpur